Adakah ‘anak Sarawak’ mampu memasuki pasukan utama Bujang Senang?

Pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) telah mengesahkan ianya membuat pusingan-U berkenaan bilangan pemain tempatan yang akan bermain untuk pasukan Sarawak FA pada musim hadapan.

Pengesahan ini tidak dinyatakan secara langsung, namun bilangan pemain bukan kelahiran Sarawak di dalam senarai 24 pemain pasukan bimbingan Ian Gillan jelas memberi gambaran bahawa nisbah pemain Sarawak dan bukan Sarawak tidak jauh berbeza dengan ketika Robert Alberts menjadi jurulatih.

Pada kebiasaannya, sebanyak 25 pemain akan disenaraikan oleh sesebuah pasukan utnuk Liga Malaysia.

Malahan, jumlah pemain kelahiran Sarawak yang diambil pada musim ini adalah kurang berbanding dengan jumlah pemain kelahiran Sarawak pada musim lepas ketika Sarawak FA berada di bawah bimbingan David Usop.

Mengikut rekod senarai pemain Sarawak yang kami ada berikut adalah jumlah bilangan pemain kelahiran Sarawak sejak 2013:

  • Tahun 2013: 13 (Jurulatih: Robert Alberts)
  • Tahun 2014: 12 (Jurulatih: Robert Alberts)
  • Tahun 2015: 15 (Jurulatih: Robert Alberts)
  • Tahun 2016: 14 (Jurulatih: K Rajagobal)
  • Tahun 2017: 18 (Jurulatih: David Usop)
  • Tahun 2018: 14 (Jurulatih: Ian Gillan)

Juga menarik adalah hakikat bahawa kebiasaannya, tidak lebih dari separuh anak kelahiran Sarawak di dalam pasukan akan turun sebagai pemain utama pasukan, dengan yang selebihnya sekadar memanaskan bangku simpanan, dan juga bangku stadium.

Dalam pada itu, ianya sememangnya akan menjadi satu pemerhatian yang menarik musim ini apabila lebih separuh daripada 14 orang ‘anak Sarawak’ merupakan pemain baharu di peringkat bolasepak tertinggi, kerana mereka adalah pemain yang kurang pengalaman berbanding pemain-pemain bukan dari Sarawak.

Oleh itu, persoalannya, adakah pemain-pemain baharu ini akan sekadar memanaskan bangku simpanan seperti sebelumnya? Atau mereka akan diberi lebih banyak peluang untuk beraksi?

Sememangnya pada era bolasepak moden kini, negeri dan negara kelahiran seseorang pemain jarang diambil kira bagi menentukan hala-tuju sesebuah pasukan, namun ianya tetap menjadi isu sensitif bagi bolasepak Sarawak, khususnya dengan pasukan Sarawak dilihat bukan sebagai sebuah kelab bolasepak, tetapi sebuah pasukan bolesepak yang mewakili Sarawak.

 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top