11sale

DAPATKAN BERITA BOLA SEPAK KUCHING TERKINI DI TELEGRAM KUCHINGBORNEO .

Penyerang yang suatu ketika dahulu dianggap penyerang paling berbisa di Malaysia, Akmal Rizal mungkin amat menyesal menyarung jersi Sarawak.

Dalam satu temubual esklusif pada awal musim, Akmal nyata amat yakin bahawa beliau akan menyerlah di Sarawak FA selepas beliau berjaya ditandatangani oleh skuad bimbingan Robert Alberts sebagai penganti Bobby Gonzales yang kini berkhidmat untuk PDRM FA.

SHOPEE

Akmal turut menyatakan bahawa beliau yakin akan menyinar di Stadium Negeri kerana yakin Robert akan membantu beliau mendapatkan rentak permainan terbaik daripadanya semula.

Sungguhpun demikian, hasrat Akmal hanyalah tinggal kenangan apabila Robert yang pada suatu ketika dahulu pernah berkata “Akmal akan mengejutkan anda semua” ketika temubual untuk majalah Sarawak FA, lebih gemar membiarkan Akmal memanaskan bangku simpanan.

Akmal yang dilihat dahagakan aksi di padang, ada dimasukkan pada saat-saat terakhir perlawanan, tetapi masa beliau di padang tidak cukup untuk memberikan sebarang impak kepada pasukan yang diwakilinya. Beliau walaubagaimanapun berjaya membantu S Chanturu menjaringkan gol ketika membuat ‘aksi pertama’ di Stadium Negeri pada awal musim 2014.

Sungguhpun Sarawak menghadapi krisis penyerang, Robert masih tidak menurunkan Akmal di dalam kesebelasan utamanya, dan memilih untuk tetap kekal membiarkan Akmal di senarai simpanan beliau.

Harapan Akmal untuk bermain sebagai pemain utama, dan sekaligus menyinar di Stadium Negeri di bawah pimpinan Robert dalam pada itu tampak semakin tipis, sehinggakan penyerang kelahiran Kedah itu mula kelihatan resah ketika latihan dan aksi pemanas badan, dipercayai akibat jarang diturunkan walaupun sebagai pemain gantian.

Tweet Akmal Rizal suatu ketika dahulu.
Tweet Akmal Rizal suatu ketika dahulu.

Kekecewaan Akmal semakin jelas apabila beliau dalam satu ‘tweet’ menyatakan beliau “bila langsung xdiberi kepercayaan mmg kecewa sgt..betul2 ‘down’“. Sungguhpun tidak secara langsung menyatakan status berkenaan bolasepak, tweet tersebut sedikit sebanyak memberi indikasi bahawa Akmal ingin diberi peluang bermain seperti dijanjikan ketika beliau dibawa ke Stadium Negeri pada awal-awal musim 2014.

Sungguhpun demikian, Robert terus meminggirkan bekas pemain kebangsaan tersebut sambil mengekalkan Akmal di bangku simpanan sepanjang musim, sungguhpun Sarawak pada suatu ketika menghadapi krisis penyerang yang kronik.

Peminggiran Akmal di dalam taktik Sarawak telah menimbulkan persoalan di kalangan peminat berkenaan punca Akmal sebenarnya ditandatangani. Ini adalah kerana beliau jarang dimainkan, dan langsung tidak diberi kepercayaan untuk bermain sungguhpun Sarawak mempunyai masalah kecederaan di kalangan penyerang yang teruk. Akmal juga dilaporkan bebas dari sebarang kecederaan, dan dikatakan sihat dan cergas untuk bermain.

Dalam pada itu, peminat mula memperlekehkan kemampuan Akmal, sambil melihat Akmal sebagai ‘simpanan mati’ skuad Bujang Senang. Akmal akhirnya diturunkan juga sebagai kesebelasan utama Sarawak dalam dua atau tiga perlawanan, namun tanpa kecergasan perlawanan (match fitness) yang mencukupi, beliau sememangnya dilihat sukar bersaing dengan pertahanan pihak lawan yang lebih cergas.

Ramai menyalahkan Robert dan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) atas tindakan mereka menandatangani seorang penyerang yang akhirnya amat jarang diturunkan, dan timbul juga suara sumbang bahawa Akmal ditandatangani atas sebab ‘komisyen’.

Sungguhpun demikian, kami di SarawkCrocs.com merasakan ianya agak aneh seorang pemain berkaliber seperti Akmal dibawa khas ke Stadium Negeri hanya untuk dijadikan pemain simpanan dengan Akmal jelas amat mahu bermain.

Tambah menarik adalah fakta bahawa Robert acap kali membayangkan Akmal akan diturunkan sebagai kesebelasan utama di dada akhbar tempatan, tetapi hanya sekadar menjadi pemanas bangku simpanan apabila perlawanan sebenar bermula.

Persoalan mula timbul samada pemilihan Akmal dibuat atas dasar kepercayaan yang beliau boleh membantu skuad Sarawak, atau hanya ditandatangani sekadar untuk memenuhi kuota pemain?

Yang pasti di pandangan mata kasar kami, Akmal telah datang ke Stadium Negeri untuk bermain bolasepak secara kompetitif namun beliau jelas gagal untuk berbuat demikian.

Tambah mengecewakan adalah hakikat Sarawak akan melepaskan Akmal pada tahun hadapan atas faktor usia, yang mana pada suatu ketika dahulu dikatakan ‘bukan masalah besar’.

Jika Akmal menyayangi bolasepak seperti yang kami bayangkan, adalah tidak mustahil dan keterlaluan kami menyatakan bahawa Akmal berkemungkinan menyesali berpindah ke Stadium Negeri kerana harapan dan janji yang diberikan kepada beliau tidak dipenuhi, walaupun ketika Sarawak nyata ketandusan penyerang berkaliber.

Jika anda Akmal, adakah anda berpandangan seperti kami? Adakah Akmal harus dipersalahkan atas ‘off form’ beliau?

Berikan komen anda di ruangan komen dibawah.