Home Malaysian football LBR Sdn Bhd dapat kontrak sepuluh tahun anjur Liga Bola Sepak Rakyat

LBR Sdn Bhd dapat kontrak sepuluh tahun anjur Liga Bola Sepak Rakyat

Liga Bola Sepak Rakyat Sdn Bhd diberi kepercayaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) bagi tempoh 10 tahun.

Pengesahan perkara itu dilakukan dalam mesyuarat exco FAM yang bersidang Isnin lalu.

Pengerusi LBR, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, menghulurkan penghargaan kepada FAM atas kepercayaan yang diberi untuk memastikan pertandingan antara daerah itu meriah dan menepati matlamat.

LBR yang dilancarkan pada September lalu, disertai 110 pasukan daerah dari seluruh negara menerusi format liga mengikut lapan zon – Tengah 1 dan 2, Utara, Selatan, Timur, Barat, Borneo 1 dan 2 membabitkan lebih 500 perlawanan secara timbal balik.

Februari lalu, LBR memasuki saingan peringkat nasional yang disertai 16 pasukan membabitkan empat kumpulan selepas masing-masing mengharungi saingan zon dan playoff.

Setakat ini, Temerloh tampil selaku satu-satunya pasukan yang merakam rekod 100 peratus kemenangan selepas empat perlawanan dalam saingan peringkat kebangsaan.

Pasukan lain ialah Jeli, Kangar, Besut dan Batang Padang PKNP dalam Kumpulan A, Ledang, Rembau, Bukit Bintang dan Perak Tengah dalam Kumpulan B, manakala Kumpulan C disertai Kuching, Miri, Kota Belud dan Papar. Kumpulan D disertai Temerloh, Maran, Padang Besar dan Melaka Tengah.

Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan mara ke suku akhir secara timbal balik yang dijangka bermula pada 25 dan 26 Mac nanti.

Kemuncak saingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 nanti adalah pertemuan final yang dijangka diadakan pada 7 Mei di gelanggang yang akan ditetapkan kemudian.

LBR diilhamkan oleh Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertujuan memberi peluang kepada pemain di peringkat daerah untuk bersaing secara berstruktur dalam suasana penganjuran profesional.

LBR dilancarkan pada 13 September 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dataran Pekan.

RECOMENDED LINKS: