12 pasukan dari bahagian – bahagian di Sarawak dijangka akan berentap dalam Liga Bolasepak Perbadanan Sukan Sarawak (SCC) yang dijadualkan pada 9 Disember kelak.

Liga yang mendapat kerjasama Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) itu akan melagakan pasukan – pasukan dari seluruh Sarawak, dengan perlawanan dibahagikan kepada tiga zone, yakni zon utara, on tengah, dan zon selatan.

Dalam laporan Suara Sarawak, Naib Presiden FAS, Philip Jabu dipetik sebagai berkata bahawa pihaknya telah mencadangkan 9 Disember sebagai tarikh sepak mula kejohanan tersebut.

Beliau juga memberi indikasi bahawa sepak mula kemungkinan akan diadakan untuk pasukan – pasukan Zon Tengah dahulu, namun keadaan kini tertakluk kepada kelulusan SCC.

“Pihak kami mencadangkan 9 Disember sebagai tarikh sepak mula. Pasukan yang bertanding akan dibahagikan kepada tiga zon iaitu zon selatan, tengah dan utara” kata Philip kepada Suara Sarawak.

“Kemungkinan besar saingan bermula di zon tengah terlebih dahulu.

“Sekarang ini kita masih menunggu kelulusan dari pihak SCC sebelum membuat keputusan muktamad” kata Philip lagi.