Seribu warga Kuching bertuah yang ke Medan Niaga Satok (Kubah Ria) hari ini menerima bubur lambok secara percuma daripada pasukan Sarawak FA.
Turut menyerikan majlis penyerahan yang serba sederhana tersebut adalah pemain-pemain import Sarawak FA seperti Bruno Demerson, Milos Raickovic, Sahil Suhaimi dan Mateo Roskam.
Ketua jurulatih Sarawak FA David Usop, serta barisan kejurulatihan Sarawak FA lain seperti Pangiran Bala, serta beberapa ahli pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) juga turut sama menyertai majlis yang dilaksanakan penuh meriah bersebelahan Pasar Ramadan Kubah Ria.
Selain daripada mengagihkan bubur lambok, pemain-pemain dan pegawai Sarawak FA turut berkesempatan beramah mesra dengan peminat, sambil ada yang membeli juadah berbuka puasa mereka sendiri.
Pasukan Sarawak FA kini sedang giat menjalankan latihan sempena menanti Liga Malaysia bersambung selepas Hari Raya kelak.
Adalah difahamkan, beberapa siri latihan persahabatan juga akan diadakan di dalam masa terdekat bagi memastikan pasukan berada di dalam keadaan terbaik apabila liga bersambung semula kelak.