Pihak UltraCrocs (UC) dalam satu kenyataan kepada kami telah menjelaskan dengan lebih terperinci isu ‘Terima Kasih Daulat Tuanku’ yang mana menyaksikan mereka mengecam tindakan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang dianggap tidak professional berhubung isu tiket peminat dibatalkan.
Menurut UC, mereka telah bertindak mengumpul nama peminat yang ingin ke Kuantan bagi menyaksikan perlawanan diantara Pahang dan Sarawak selepas mendapat mandat dari wakil Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), dan sekitar 500 nama telah berjaya di kumpulkan.
Sungguhpun demikian, wakil dari PBNP telah memaklumkan kepada mereka bahawa “atas arahan Tengku Muda Pahang, hanya 300 tiket akan dikhaskan buat penyokong Sarawak”, dan berita tersebut telahpun disahkan wakil FAS.
Dengan demikian jelas UC, pihak mereka telah bertindak membuat hebahan bahawa mereka tidak berupaya menyediakan tiket dan meminta semua yang berminat membeli tiket mereka sendiri.
Sungguhpun demikian jelas UC, wakil dari Sarawak Football telah menghubungi UC dan menawarkan tiket, yang mana pihak UC telahpun bertindak memohon 30 keping.
Jasa baik wakil Sarawak Football yang dikenali sebagai Ahmad Fikri hanya sia-sia apabila pihak PBNP bertindak membatalkan sebilangan tiket yang dijanjikan kepada Sarawak pada jam 6:30 petang, sekaligus memaksa Ahmad dan lebih kurang 70 peminat Sarawak gagal masuk ke stadium.
Dalam pada itu, pihak UC turut melahirkan kekesalan apabila pada penghujung perlawanan wujud situasi dimana penyokong Sarawak berterima kasih kepada pihak PBNP dengan laungan ‘Terima Kasih Daulat Tuanku’, kerana mereka merasakan tindakan sedemikian tidak wajar apabila peminat Sarawak sebenarnya telah diperlekehkan.
Pihak UC dalam pada itu turut menegaskan bahawa mereka tidak memperkecilkan pengaruh dan sumbangan GB13 terhadap kemajuan bolasepak Sarawak, namun berharap pada masa hadapan pembelaan semua penyokong boleh dilaksanakan secara bersama.
Untuk membaca kenyataan rasmi pihak UC, anda boleh ke laman FB mereka, atau download di sini.