Rakan Kongsi Liga Malaysian Football League (MFL) menganggap keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) untuk menangguhkan kesemua kejohanan bermula Isnin ini adalah tepat pada masanya demi keselamatan semua pihak susulan penularan wabak COVID-19.
Mengambil kira wabak yang mengancam nyawa itu semakin merebak keseluruh dunia, adalah wajar untuk setiap badan induk sukan mengambil keputusan menangguhkan segala aktiviti luar demi menjaga kesihatan semua baik pemain, jurulatih dan penyokong.
Jelas Setiausaha Kehormat Johor Darul Ta’zim (JDT), Kapten Mohd Anizam Jamian, wabak COVID-19 perlu dipandang serius dan beliau percaya semua pasukan menyokong penuh keputusan bersama FAM-MFL itu termasuklah mengharungi baki perlawanan minggu ini tanpa penonton.
JDT yang akan menentang Felda United pada malam Sabtu telah mengambil keputusan awal menghentikan penjualan tiket dalam talian sejak Selasa lalu dan akan memulangkan kembali wang kepada penyokong yang sempat mendapatkan tiket lebih awal.
“Melihat kepada isu ini, memang boleh katakan sangat merbahaya dan kami di pihak JDT akan ikut apa yang diputuskan oleh FAM dan MFL kerana kita rasa ini memang untuk keselamatan semua pihak.
Dalam pada itu, Setiausaha Eksekutif Kedah FA, Shahrul Samsudin dipetik berkata “Dalam bola sepak kita tahu memang melibatkan orang ramai dan dua faktor penting ini perlu diambil serius iaitu faktor kesihatan dan keselamatan semua orang.”
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri pula mengambil pendekatan yang positif atas penangguhan saingan Liga Malaysia ini untuk pasukan mengambil peluang menggunakan masa yang ada untuk memperkemaskan latihan dan memperbaiki kelemahan.
Sudah pasti, keputusan untuk menangguhkan semua kejohanan ini akan memberi masalah kepada FAM dan MFL bagi melakukan perancangan seterusnya kerana tidak ada tarikh yang pasti untuk kembali memulakan saingan, tetapi PAFA akan sentiasa menyokong apa jua keputusan bagi mengutamakan kesihatan semua pihak.
“PAFA daripada awal memang menantikan keputusan seperti ini diambil oleh FAM dan MFL dan mereka membuat keputusan betul kerana meletakkkan kepentingan rakyat dan negara.
“Memang kita tahu, pihak mereka akan berdepan masalah kerana kita sendiri tidak tahu bila saingan akan bersambung disebabkan ia tertakluk kepada perkembangan penularan wabak itu dan kami di Perak akan ambil kesempatan ini untuk meneruskan latihan untuk memperkemaskan pasukan dengan lebih baik,” jelasnya.
Kesemua perlawanan Liga Malaysia, yakni CIMB Liga Super, Liga Premier dan Liga M3 ditangguhkan bermula Isnin.