Rata-rata peminat bolasepak Sarawak FA merasakan pasukan kesayangan mereka tidak akan berjaya ke perlawanan akhir pada Piala Malaysia edisi 2014.
Menurut pendapat yang diutarakan melalui laman sosial facebook kami, kebanyakan peminat merasakan Sarawak tidak mampu bergerak jauh di dalam Piala Malaysia kali ini atas beberapa faktor termasuklah keraguan mereka berhubung kecederaan yang melanda tiga pemain import skuad Bujang Senang.
Turut menjadi topik hangat di dalam ruangan komen adalah kekurangan persediaan pasukan Sarawak jika dibandingkan dengan pasukan lain, di mana Sarawak hanya menentang tiga pasukan kurang ternama di Indonesia dan beberapa kelab bawahan di Sarawak yang dirasakan tidak setara dengan kualiti skuad Bujang Senang.
Tinjauan terhadap beberapa kumpulan penyokong Sarawak oleh pihak SarawakCrocs.com juga mendapati mereka kurang yakin akan kemampuan skuad Sarawak kali ini dengan UltraCrocs menyatakan Sarawak memerlukan nasib jika mahu melepasi peringkat kumpulan.
Jurucakap UltraCrocs yang tidak ingin dikenali juga berpendapat bahawa Sarawak tidak mempunyai lawan yang cukup bermutu untuk persediaan Piala Malaysia kali ini sambil memberi contoh pasukan Kedah dan Terengganu yang turun tanpa kehadiran ayam tambatan masing-masing, tetapi masih mampu menewaskan pasukan Kelantan (vs Kedah 2-4) dan Felda (vs Terengganu 1-3) di dalam aksi pemanas badan mereka.
Pendapat sama turut dikongsi oleh pemilik page ‘Shoot Sampei Bisak Net Tiang Gol Ya‘ yang berpendapat skuad bimbingan Robert Alberts memerlukan keajaiban jika mahu masuk ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia, sambil menambah bahawa pendapat beliau adalah berdasarkan persediaan skuad Bujang Senang untuk pertandingan tersebut.
Kedua-dua kumpulan wakil kumpulan penyokong tersebut walaubagaimanapun turut menyatakan bahawa mereka sememangnya mahu Sarawak memenangi pertandingan Piala Malaysia, dan berharap skuad Bujang Senang akan membuktikan mereka salah apabila pertandingan bermula kelak.
Wakil kumpulan penyokong Sarawak FA Fans pula enggan mendedahkan sasaran terakhir mereka, tetapi menyifatkan bahawa inilah masa untuk Sarawak menggilap pemain muda untuk persediaan musim hadapan. Tambah beliau, Sarawak berdepan misi sukar kerana kecederaan pemain utama, sementara pasukan lain kelihatan amat kuat dan tidak ada masalah seumpamanya.
Dalam pada itu, seorang peminat bernama Came Cameron turut memberi komen yang serupa dengan kumpulan penyokong Sarawak tersebut, sambil menambah bahawa pendapat beliau bukanlah bermakna beliau memandang rendah akan keupayaan pemain Sarawak, tetapi hanya mahu realistik terhadap peluang pasukan kesayangannya. Beliau juga menambah bahawa sebagai peminat, beliau sememangnya mahukan Sarawak berjaya, namun peminat harus berpijak di bumi nyata apabila berharap.
Pemberita Ghaz Ghazali turut sudi memaklumkan kepada kami bahawa Sarawak merupakan pasukan ‘kuda hitam’ di dalam pertandingan Piala Malaysia kali ini sambil menyifatkan Sarawak mungkin akan berjaya ke separuh akhir seperti tahun lepas.
Sungguhpun demikian, beberapa individu, termasuk Mr Kopi yang bertugas sebagai salah satu admin di Facebook Sarawak Crocs, tetap optimistik dengan peluang Sarawak dalam pertandingan kali ini. Menurut Mr Kopi, bola itu bulat, dan beliau amat percaya pemain tempatan mampu menyinar dan sekaligus membantu Sarawak ke peringkat tertinggi Piala Malaysia.
Kepercayaan Mr Kopi turut sama dikongsi kumpulan ultra Cakoza Troopers (Gate A) yang telah menyatakan keyakinan bahawa Sarawak akan memasuki peringkat akhir pertandingan tersebut.
Bagi kami di SarawakCrocs.com, harapan terhadap pasukan Bujang Senang di dalam pertandingan Piala Malaysia kali ini sememangnya yang terbaik, biarpun secara realistiknya, kami merasakan skuad bimbingan Robert Alberts ini kurang ampuh untuk mara lebih dari peringkat kumpulan.
Walaubagaimanapun, kami, seperti juga peminat lain yang menyokong skuad Bujang Senang, amat berharap pemain Sarawak akan membuktikan kami salah, dan sekaligus membawa Piala Malaysia balik ke Bumi Kenyalang.
Ngap Sayot!
Apakah sasaran realistik anda untuk skuad Bujang Senang? Sila kongsikan di ruangan komen.