Tiada isu jumlah tajaan ‘rahsia’

Beberapa rakan kongsi Liga Malaysia berpendapat jumlah penajaan antara Telekom Malaysia (TM) dan Malaysian Football League (MFL) yang tidak didedahkan kepada umum tidak wajar dijadikan sebagai satu isu memandangkan semua pasukan akan mengetahui jumlah agihan hak penyiaran yang bakal diterima.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Syahrizan Mohd. Zain berkata, mereka selaku pemegang rakan kongsi sudah diterangkan mengenai perkara itu dan memahami pendekatan yang diamalkan oleh MFL demi melindungi kepentingan pihak penaja.

Tambahnya, apa yang perlu dijadikan tumpuan semua pihak ialah kejayaan MFL mengotakan janjinya untuk mendapatkan penaja utama sebelum Liga Malaysia pada musim 2020 bermula.

“Saya rasa bukan masalah besar nilai tajaan tidak dikongsikan kepada umum kerana rakan kongsi atau pasukan yang jadi keutamaan dalam saingan Liga Malaysia sudah tahu.

“Kita kena hormat permintaan MFL serta TM dan kami sebagai rakan kongsi sedikit sebanyak sudah mengetahui perkara ini serta jangkaan hak penyiaran pada musim ini dalam beberapa taklimat yang lepas.

“Apa yang penting, kita kena sambut baik kerjasama selama tiga tahun antara TM dengan MFL ini yang menjadi permulaan baik kepada Liga Malaysia musim ini.

“Berapa nilai (agihan hak penyiaran) kami hargai kerana bantuan kewangan seperti ini cukup penting kepada semua pasukan bagi harungi musim ini,” Katanya.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (PFA), Shahrul Samsudin menyifatkan masih lagi ada pihak yang tidak memahami kekangan yang dialami MFL sebelum ini sehingga jumlah penajaan yang tidak diumumkan menjadi satu isu.

Jelasnya, kehadiran TM sebagai penaja utama sudah cukup baik daripada tidak mendapat apa-apa di mana perkara ini akan menjadi satu permulaan yang boleh memberi semangat baharu kepada semua pasukan bertanding.

Cuma, dalam masa yang sama, semua pasukan bersama-sama badan peneraju liga itu sendiri perlu lebih proaktif untuk menarik penyokong hadir ke stadium walaupun selepas ini penyokong bakal ditawarkan pakej Pass Tontonan Unifi TV yang agak berpatutan.

“Bagi saya, MFL sudah pun mendapat penaja utama dan perkara itu yang perlu kita fokuskan kerana yang penting semua rakan kongsi liga sentiasa diberitahu segala maklumat termasuklah jumlah penajaan.

“Saya percaya MFL akan ditadbir dengan lebih baik selepas ini dengan perubahan-perubahan yang positif untuk Liga Malaysia.

“Kalau kita tengok pakej Pass Tontonan Unifi TV yang agak berpatutan, saya harap penyokong juga akan terus bersemangat untuk datang ke stadium bagi memeriahkan lagi suasana perlawanan di venue,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, TM diumumkan sebagai penaja utama bagi kejohanan berprestij Piala Malaysia yang kini dikenali sebagai TM Piala Malaysia.

Menerusi perjanjian selama tiga tahun, TM menerusi anak syarikat TM Multimedia (TMM) itu turut menjadi penaja bersama bagi Liga Super, Piala FA, Liga Premier dan Challenge Cup di mana kerjasama ini meliputi hak penyiaran eksklusif dan hak mobile streaming serta dalam talian pada semua platform unifi TV.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top