Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Mohd. Syahrizan Mohd.Zain berkata, Terengganu FC dan Terengganu FC II akan memulakan latihan pada Ahad ini setelah mendapat kelulusan daripada Malaysia Football League (MFL), Khamis lalu.

Beliau mengakui laporan yang menyatakan permohonan Terengganu tidak diluluskan oleh MFL tidak benar sama sekali memandangkan PBSNT berjaya melengkapkan semua syarat ditetapkan oleh MFL bagi memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu berkaitan ujian calitan, melantik seorang pegawai penyelaras, venue latihan serta mendaftarkan venue kepada MITI.

Semua latihan akan diadakan di Kompleks Sukan Gong Badak dengan kawalan venue yang ketat dengan tidak dibenarkan sebarang orang luar dibenarkan masuk mendekati pusat latihan.

“Kami telah menghantar semua dokumen diperlukan pada Rabu (17 Jun) dan telah diluluskan oleh MFL, namun kami akan memulakan latihan pada Ahad setelah semuanya bersedia.

“Semua proses berjalan lancar dan tiada sebarang masalah daripada pihak kami bagi MFL meluluskan permohonan yang telah diarahkan termasuk venue latihan di Gong Badak.

“Sesi latihan nanti akan dirancang barisan kejurulatihan memandangkan hanya 10 pemain dan 4 sahaja pegawai dibenarkan dalam satu tempoh masa 45 minit.

“Pintu masuk di Kompleks Sukan Gong Badak akan dibantu pihak keselamatan untuk memastikan hanya pemain, pegawai dan orang tertentu sahaja dibenarkan masuk ke kawasan latihan, ” katanya.

Setakat ini, beberapa pasukan didahului Negeri Sembilan serta UITM FC , Selangor 2 dan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah memulakan latihan pada minggu ini selepas berjaya melengkapkan empat syarat utama ditetapkan oleh MFL.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Eksekutif Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman, menyatakan pandangannya bahawa pasukan yang mahu menjimatkan kos ujian calitan atau swab test boleh mencari jalan alternatif dengan melakukannya di hospital milik kerajaan.

Baginya, kos di hospital kerajaan tidak terlalu mahal jika hendak dibandingkan dengan hospital pihak swasta jadi tidak timbul masalah untuk mana-mana pasukan melaksanakan SOP yang ditetapkan oleh MFL sepertimana dikehendaki Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Presiden kelab ( Datuk Che Abdullah Mat Nawi), telah menghubungi pihak Jabatan Kesihatan Negeri dan selewat-lewatnya sebelum Rabu depan kami akan lakukan swab test.

“Langkah ini diambil untuk penjimatan kerana bagi saya apa terjadi,pasukan tetap kena berlatih dan ada langkah alternatif jika mahu kurangkan kos.

“Saya bagi contoh, kos paling murah difahamkan bagi seorang kalau di hospital swasta,dalam sekitar RM350 dan kalau di hospital kerajaan,walaupun masih kena bayar tetapi tidak semahal di hospital swasta,” katanya.