Selepas penganti Robert Alberts dikenalpasti, kini timbul pula persoalan berkenaan siapakah bakal menjadi penolong jurulatih kepada Fuad Grbesic.
Jika sentimen di laman sosial dijadikan sandaran, ramai peminat merasakan bahawa hampir keseluruhan jurulatih di bawah pemantauan Robert Alberts sebelum ini perlu diganti dengan orang baharu, dan ini termasuklah desakan peminat untuk melihat David Usop, Mohd Farhan Abdullah dan Mohana Sundram digugurkan oleh Sarawak.
Sungguhpun demikian, pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) buat masa ini belum membuat sebarang kenyataan rasmi berkenaan status mana-mana jurulatih lain di Sarawak kecuali berkenaan pelepasan Robert, dan perlantikan Fuad.
Dalam pada itu, peminat terus memperkatakan dengan hebatnya berkenaan calon penolong jurulatih baharu dengan nama-nama bekas pemain Sarawak seperti Ibrahim Mentali, Safri Amit, Mazlan Wahid dan Jalil Ramli menjadi sebutan ramai.
Pihak kami di SarawakCrocs.com juga tidak mendapat apa-apa maklumat sahih dan dipercayai berkenaan perubahan penolong jurulatih di dalam pasukan senior Sarawak, dan kami merasakan bahawa pihak FAS berkemungkinan besar tidak akan mengubah kedudukan mana-mana jurulatih lain sehingga musim 2015 tamat.