Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin telah memutuskan bahawa pemain pertahanan Sarawak, Hairol Mokhtar digantung enam perlawanan akibat berkelakuan ganas terhadap pengadil semasa perlawanan Piala Malaysia 2016 di antara Kedah lawan Sarawak pada 13 Julai 2016 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Hairol telah didapati bersalah kerana melanggar dua artikel, yakni ‘Artikel 51.1 (b) Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Salahlaku terhadap pegawai perlawanan’ dan ‘Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Perintah keluar padang’.
Dalam pada itu Hairol akan serta merta digantung daripada bermain dalam kesemua perlawanan pertandingan bola sepak Malaysia (perlawanan rasmi atau tidak rasmi) selama enam bulan mulai 1 September 2016 hingga 28 Februari 2017.
Tidak cukup dengan itu, Hairol juga akan didenda sebanyak RM2,000.00 dan diberi amaran keras untuk tidak mengulangi kesalahan beliau.
Bagi yang ingin melihat kejadian, anda boleh ke pautan ini.
Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dijangka akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.