Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts mengakui, tampak cerah peluang pasukannya mengulangi pencapaian untuk meraih tiga mata apabila turun berdepan semula UiTM di Stadium UiTM, Shah Alam pukul 4.45 petang ini.
Itupun kata beliau, sekiranya rangkaian kesebelasan utama yang dipertaruhkan berjaya mengekalkan aksi konsisten sebagai mana kejayaan menumpaskan lawan yang sama (5-0) saingan pusingan pertama di Kuching pada 11 Januari lalu.
“Kita yakin pemain dapat meraih tiga mata penuh pada perlawanan petang ini, memang peluang tetap ada tetapi saya tidak berani memberi jaminan sekiranya aksi sumbang dipamerkan para pemain yang sekali gus boleh melenyapkan impian kearah itu,” kata Robert.
Robert mengingatkan pemain agar tidak terlalu merendah kemampuan lawan walaupun rekod seakan memihak kepada mereka sebelum ini. “Rekod tempoh hari tidak boleh dijadikan analisis kita, cuma pemain diharap tidak terlalu leka dan sebolehnya memanfaatkan peluang seadanya,” ujar Robert lagi. Beliau sebelum itu memberitahu, perlawanan petang ini menyaksikan perubahan dalam barisan kesebelasan utama ekoran ketiadaan dua playmaker Guy Bwele dan ketua pasukan Shahrol Saperi yang digantung perlawanan.
“Sedikit perubahan dalam kesebelasan utama petang ini dengan ketiadaan dua pemain utama (Guy Bwele & Shahrol Saperi) yang digantung perlawanan. Apa pun, ia tidak menjejaskan misi untuk meraih kemenangan,” tambah Robert. Malah yakin dengan kemampuan pemain simpanan yang diberi tanggungjawab mengambil alih tugas di keduadua posisi berkenaan.
Sarawak kini kekal menghuni tangga kedua dengan 31 mata hasil sembilan kemenangan selain mencatat empat keputusan seri dari 13 perlawanan dilalui setakat ini. Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman berkata, emainnya cukup bersedia meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan petang ini.
“Memang kebanyakan peminat berharap kita (Sarawak) dapat memintas seteru rapat Sime Darby yang berada ditangga teratas dengan mengharap jelmaan dua situasi berbeza iaitu Sarawak berjaya menumpaskan UiTM selain Sabah berjaya mengejutkan lawan mereka (UiTM),” kata Sudarsono.
Bagaimanapun beliau tidak mahu para pemain memikirkan perkara itu sebaliknya menghala kepada fokus utama iaitu memburu tiga mata yang amat berharga pada perlawanan petang ini . “Kita tidak mahu memberi tekanan kepada pemain tetapi cukup rasanya untuk mereka mengetahui akan peranan serta tanggungjawab masing-masing. Manfaatkan peluang dengan baik apabila memilikinya,” jelas Sudarsono lagi.
Sumber: Utusan Sarawak