Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) melakukan penstrukturan jadual Liga Malaysia apabila ianya bersambung kelak.

Penstrukturan jadual yang dicadangkan adalah untuk membantu pasukan – pasukan dari Borneo Malaysia.

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony berkata penstrukturan semula jadual itu adalah untuk mengurangkan kekerapan perjalanan yang melibatkan pasukan – pasukan dari Borneo Malaysia, yakni Sabah dan Sarawak apabila mereka terpaksa bermain di gelanggang lawan.

Menurut Peter, pengurangan kekerapan perjalanan bagi pasukan – pasukan Malaysia Timur akan juga merendahkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap pemain dan pegawai pasukan -pasukan berkenaan.

“Selain daripada kos penerbangan yang tinggi, apabila saingan Liga Super ini bermula nanti, wabak COVID-19 belum tentu telah hilang sepenuhnya dan ia berisiko kepada pasukan yang sering menggunakan pesawat dan selalu bertukar hotel.

“Kami harap pihak FAM atau MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dapat melihat dan mengkaji perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Liga Malaysia dijangka akan disambung selewat-lewatnya September kelak, namun terdapat bayangan ianya mungkin akan dimulakan lebih awal jika mendapat kebenaran daripada pihak Kerajaan Malaysia.

Buat masa ini, hanya tiga pasukan Malaysia Borneo bermain di Liga Malaysia yakni Sabah FA, Sarawak United FC A (SUA) dan Kuching FA.

Satu lagi pasukan, Sarawak FA bermain di liga amatur kelolaan Amateur Football League (AFL).