Prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan seandainya saingan domestik dapat diteruskan pada September ini dilihat akan membebankan pasukan Liga Malaysia.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa mengakui akan hadir banyak beban tambahan kepada pasukan Liga Malaysia apabila SOP tersebut dilaksanakan kelak.
Beliau memberi contoh keadaan Bundesliga yang kini sudah memulakan aksi walaupun pandemik Covid-19 masih menular.
Jelas Sadek, SOP akan meliputi aspek sebelum, semasa dan selepas perlawanan dan ianya akan secara langsung menambahkan beban kewangan kepada pasukan bertanding.
“Kalau kita tengok di Bundesliga, apa yang kita lihat ketika perlawanan adalah seperti penjarakan sosial bangku simpanan dan pemain tidak meraikan jaringan tetapi apa yang kita tidak nampak adalah SOP mereka sebelum dan selepas perlawanan.
“Sebelum perlawanan, saringan dilakukan ke atas pemain dan bola serta padang akan disanitasi. Begitu juga selepas perlawanan jadi ini semua memerlukan kos tambahan dan ada pasukan yang akan terbeban dengan perkara ini.
“Pasukan juga akan menghadapi isu logistik di mana mungkin mereka perlu menggunakan dua bas untuk pergi ke perlawanan di tempat lawan selain isu rentas negeri dan sebagainya,” katanya.
Aksi Bundesliga yang berlangsung Sabtu lalu menyaksikan pemain dan pegawai perlawanan memperkenalkan SOP ketat bagi membolehkan bola sepak kembali dimainkan.
Antaranya penjarakan sosial di bangku simpanan, pemain dan barisan kejurulatihan perlu memakai topeng muka dan tiada sambutan berlebihan dalam kalangan pemain selepas menjaringkan gol.