Pasukan Perak yang membuat latihan di Stadium Sarawak kelmarin diganggu oleh segelintir peminat Sarawak ketika hendak pulang dari sesi tersebut.
Sebuah video yang telah dimuat naik ke laman sosial jelas menunjukkan insiden tersebut dengan lebih kurang sepuluh penyokong Sarawak menghalang pemain Perak dari beredar sambil melaungkan kata-kata kesat, termasuk ayat ‘ini Kuching’. (Video telah dikongsi di laman FB kami)
Insiden ini dikatakan telah berlaku kerana perasaan tidak puas hati peminat Sarawak terhadap layanan buruk yang diterima skuad Bujang Senang ketika bertandang ke Ipoh beberapa minggu lepas. Dalam insiden itu, laungan ‘ini Ipoh’ turut kedengaran.
Dalam pada itu, pihak Persatuan Bolasepak Sarawak telah menegaskan pendirian mereka bahawa penyokong Perak tidak digalakan ke Stadium Negeri malam ini kerana mereka tidak dapat menjamin keselamatan peminat pasukan pihak lawan tersebut.
[KEMASKINI 30 Ogos, 11:40AM]
Sumber kami di FAM menyatakan bahawa pasukan FAS mungkin akan dikenakan tindakan disiplin oleh FAM sekiranya pihak Perak FA mengambil keputusan untuk melaporkan kejadian tersebut.