Dua pemain yang dibebaskan dari tuduhan mengatur perlawanan kelmarin akan terus bermain bolasepak bersama pasukan Sarawak FA.
Mazwandy Zakeria dan Hafiz Abu Bakar menegaskan bahawa biarpun nama mereka tercalar akibat insiden tersebut, mereka akan tetap bermain bolasepak kerana mereka merupakan pemain professional.
Kedua-dua pemain, bersama seorang lagi individu yang turut ditangkap kerana disyaki merupakan bookie, ditemani oleh peguam mereka di dalam satu sidang media pada hari ini di sebuah hotel.
Menurut kedua-dua pemain, biarpun mereka merasakan mereka dianiaya, mereka akan terus berjuang bersama pasukan Sarawak FA sehigga kontrak mereka tamat.
Dalam perkembangan sama, kedua-dua pemain mengesahkan laporan polis telah dibuat berhubung tuduhan mengatur perlawanan yang dibuat terhadap mereka, dan mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang berkaitan.
Kelmarin, ketiga-tiga individu dibebaskan dari tuduhan mengatur perlawanan selepas pihak mahkamah mendapati bukti yang dibawakan terhadap mereka tidak mencukupi.