Ketua jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan menyatakan bahawa pasukan JDT II telah membuat serangan bertali arus pada babak kedua, yang mana menyaksikan pasukan beliau gagal mengekalkan kelebihan satu gol malam tadi.
Dalam perlawanan terakhir Liga Premier Sarawak United malam tadi, Sarawak United mendahului perlawanan dengan kelebihan satu gol.
Sungguhpun demikian, pada babak terakhir perlawanan, JDT II berjaya menyamakan kedudukan sekaligus meranapkan impian Sarawak United untuk menyaingi Negeri Sembilan untuk kejuaraan liga.
“Kita fokus untuk mendapatkan tiga mata. Bila kami dapat gol awal, kami sudah mula berhati – hati dan hanya menyerang apabila ada peluang.” kata Elavarasan selepas perlawanan.
“Dengan cara ini, biasanya kami akan mendapat satu lagi gol atau akan menamatkan perlawanan dengan keputusan 1 – 0.
“Tetapi di babak kedua mereka (JDTII) telah mula membuat hantaran lintang bertalu – talu dan, walaupun kami ada peluang untuk menjaringkan gol, tetapi keputusannya akhirnya seri.” ulas Elavarasan berkenaan perlawanan tersebut.
Biarpun gagal merangkul kejuaraan liga, Sarawak United berjaya melayakkan diri ke Liga Super musim hadapan dan akan bertarung dalam Piala Malaysia pada bulan hadapan.