Sarawak United turun beraksi 24 Julai ini

Malaysian Football League (MFL) mengumumkan saingan Liga Malaysia 2021 yang membabitkan aksi Liga Super dan Liga Premier akan kembali bersambung pada 24 Julai ini.

Bagaimanapun terdapat sedikit pindaan terhadap jadual Liga Malaysia susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan di seluruh negara susulan peningkatan kes COVID-19.

Pindaan itu membabitkan saingan Liga Premier yang sebelum ini dijadual kembali bermula pada 3 Julai 2021.

Manakala perlawanan tertunda iaitu Perak FC II menentang Kelantan FC di Stadium Perak, Ipoh sementara Selangor FC 2 menentang Sarawak United FC di venue yang akan ditetapkan kemudian akan berlangsung pada 17 Julai 2021 berbanding tarikh asal pada 29 dan 30 Jun 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, pindaan jadual turut melibatkan perlawanan ke-19 Liga Super sehingga perlawanan 22 serta perlawanan ke-13 sehingga 22 Liga Premier bagi memastikan jarak bagi setiap perlawanan tidak terlampau padat.

“Meskipun PKP masih dilaksanakan, MFL mendapat pertimbangan baik daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meneruskan baki saingan Liga Malaysia 2021 dengan SOP yang ketat.

“Bagaimanapun pindaan jadual tidak dapat dielakkan bagi meminimumkan pertembungan venue dan bagi mengelak daripada pasukan-pasukan mengharungi jadual agak padat.

“Kita semua sedia maklum bahawa KBS sebelum ini telah menyarankan supaya jadual Liga Premier ditunda sebelum ini berikutan kes harian yang masih mencatatkan bacaan tertinggi melebihi 4,000 kes sehari.

“Jika ada sebarang perubahan dan pindaan kalendar dan jadual pertandingan Liga Malaysia 2021 akan datang, ia akan tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL serta arahan terkini oleh Kerajaan Malaysia dan penguatkuasaan arahan PKP,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Liga Malaysia 2021 sebelum ini berehat selepas perlawanan terakhir pada 9 Mei 2021 bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan beraksi dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu serta Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok, Thailand.

Klik untuk muat turun jadual terkini Liga Super dan Liga Premier. – MFL

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top