Sarawak United tundukkan Kelantan United

Sarawak United FC berjaya menewaskan pasukan Kelantan United FC malam tadi dengan kemenangan 3 – 2 di tempat lawan.

Permulaan perlawanan menyaksikan jentera serangan tuan rumah lebih bernafsu memburu gol apabila melakukan dua percubaan awal menerusi Gassama dan Shahrul Hakim.

Penyerang Sarawak United, Norshahrul Idlan Talaha memiliki dua peluang keemasan memecahkan kebuntuan namun sepakan pada minit ke-10 lemah kepada Fikri Che Soh manakala penalti empat minit kemudian terkena tiang.

Peluang Norshahrul dalam kotak penalti juga tinggi pada minit ke-28 walau tidak dicabar pertahanan KUFC.

Tampanan kearah gol sendiri Shuhei Fukai setelah menghadang hantaran Christiee Jayaseelan sempat dikuis keluar Fikri Che Soh minit ke-35.

Penyerang kebangsaan, Norshahrul terus menjadi duri dalam daging buat Sang Kijang Hijau setelah percubaan pemain ini sekali lagi diselamatkan Fikri pada minit ke-42.
Masashi Motoyama juga hampa apabila sepakan percuma rendah pada minit ke-44 berjaya diselamatkan Sharbinee Alawee.

Jaringan akhirnya terhasil seminit masa tambahan babak pertama setelah Christee Jayaselan mendada hantaran Lee Chang Hoon didalam kotak penalti dan tenang merembat rendah kearah gawang untuk menewaskan Fikri Che Soh.

Kembali dari bilik persalinan, KUFC segera memasukkan Fakhrul Zaman bagi menambah sengat. Kemasukan pemain ini pantas merubah corak perlawanan apabila banyak membantu KUFC melakukan serangan dan percubaan.

Bermula minit ke-52 sepakan dari dalam kotak penalti Fakhrul Zaman sedikit tinggi, dua minit selepas itu, Sharbinee melakukan ‘super save’ menafikan sepakan percuma cantik pemain ini dari sebelah kiri pintu gol.

Jaringan penyamaan menjelma akhirnya setelah Fakhrul Zaman yang melepasi perangkap offside melakukan rembatan kencang ditepis Sharbinee dan terkena tiang tetapi Stuart Wark melakukan kesilapan apabila tertampan ke gawang sendiri minit ke-58.

Jaringan itu menambah nafsu KUFC dan mereka berjaya didepan minit ke-68 setelah Sharbinee silap perkiraan sepakan lambung Fakhrul Zaman yang terus menerjah jaring.

Bagaimanapun, Sarawak United segera membalas menerusi tandukan deras Norshahrul Idlan Talaha setelah menerima hantaran sepakan percuma dari Lee Chang Hoon pada minit ke-71 untuk mengikat kedudukan 2-2.

Babak selepas itu cukup mendebarkan, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan memburu gol yang ketiga.

Beberapa percubaan bahaya yang dilakukan kedua-dua pasukan bagaimanapun dinafikan dengan tindakan cemerlang dari penjaga gol masing-masing.

Namun, pada minit ke-81, berpunca dari sepakan Azriddin Rosli yang terkena tangan pemain SUFC, pengadil tetap meneruskan perlawanan menyaksikan serangan balas dilancarkan pemain gantian Gopi Rizqi dari sebelah kiri, menemui Abdul Rahim yang keseorangan dihadapan gawang seterusnya merobek gawang KUFC buat kali ketiga.

Jaringan itu merentap semangat anak buah Akira Higashiyama namun mereka kekal berjuang untuk mencari gol penyamaan.

Serangan tetap diatur namun Sarawak United juga tidak mengendurkan corak permainan.

Pemain pelawat hanya bertindak melakukan serangan balas pantas bila berpeluang dan seharusnya mereka dapat menambah lebih 4 jaringan jika Fikri Che Soh tidak cemerlang menafikan setiap cubaan kearah gawang KUFC.

Saat akhir, berpunca dari sepakan sudut Fakhrul Zaman, bola rendah menuju kehadapan gawang dan terkena tangan pemain pertahanan Sarawak United.

Pengadil menafikan permintaan pemain KUFC untuk sepakan penalti seterusnya memberi kelegaan buat kem pelawat.

Tiada apa yang mampu dilakukan dengan perlawanan berbaki seminit untuk Sarawak United akhirnya berjaya pulang dengan tiga mata penuh.

  • Laporan asal perlawanan oleh unit media KUFC. 
error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top