Sarawak United FC telah dikhabarkan akan menjadikan Stadium Selayang sebagai gelanggang sendiri untuk melangsaikan baki perlawanan Liga Premier.
Sungguhpun demikian, pasukan yang sebelum ini dikenali dengan nama Selangor United FC itu, tidak mahu berbuat demikian.
Malah, pasukan milik Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) itu mahu pasukan lawan menjadi tuan rumah bagi semua perlawanan mereka kelak.
Menurut Setiausaha Agung FAS, Jeffry Lana, adalah lebih praktikal jika pasukan yang sepatutnya menjadi pasukan pelawat kepada pasukan Sarawak United, mengambil terus status ‘tuan rumah’ bagi perlawanan gelanggang sendiri Sarawak United.
Jeffry menjelaskan bahawa ini akan menjimatkan kos di pihak pasukan lawan kerana mereka tidak perlu ke Stadium Selayang untuk menentang Sarawak United.
Jeffry walaubagaimanapun menyatakan bahawa jika cadangan ini dipersetujui, pasukan pelawat diharap boleh menanggung kos penginapan, makanan, minuman dan pengangkutan bagi Sarawak United.
Beliau menjelaskan bahawa Sarawak United akan menanggung kos makan dan minum ketika berkampung di Kuala Lumpur, namun berharap pihak Malaysia Football League (MFL) akan mempertimbangkan pemberian subsidi bagi penginapan pasukan.
“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi pasukan Sarawak United yang terpaksa berkampung di Kuala Lumpur sepanjang mengharungi saingan Liga Malaysia” kata Jeffry kepada akhbar Sinar Harian.
“FAS melihat cadangan ini lebih praktikal kepada lawan yang tidak perlu berkunjung ke Stadium Selayang, sebaliknya menjadikan veue mereka sebagai gelanggang tuan rumah yang akan lebih menjimatkan kos mereka.
“untuk elaun makan dan minum di Kuala Lumpur kami tidak minta sebab kami akan tanggung sendiri perkara berkenaan, cumanya kami minta keprihatinan MFL untuk salur sedikit subsidi untuk penginapan hotel” tambah Jeffry lagi.
Selain Sarawak United, Kuching City juga menghadapi masalah gelanggang tempat sendiri apabila Liga Malaysia bersambung hujung minggu ini kelak ekoran peraturan kawalan Covid-19 Kerajaan Sarawak yang ketat.