Kelab bolasepak Sarawak United yang buat masa ini banyak mendiamkan diri dilihat semakin mendapat tempat di hati peminat bola sepak Sarawak.
Biarpun kelab tersebut tidak memberitakan banyak khabar rasmi berkenaan perkembangan pasukan tersebut, populariti pasukan yang dimiliki Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) itu dilihat semakin tinggi dengan peminat sering bercakap berkenaan khabar pasukan tersebut.
Peminat bola sepak Sarawak juga dilihat sering memuji pasukan tersebut yang kini digelar antara pasukan terbaik di Liga Malaysia.
Bukan itu sahaja, pemilihan pemain kelab tersebut yang dikhabarkan lebih ketat pada musim ini untuk kedua-dua pasukan Sarawak United A (SUA) dan Sarawak United B (SUB) memastikan pasukan itu pasti mampu bersaing di kedua – dua liga yang mereka sertai dengan kedua – dua pasukan dilihat hampir pasti akan berjaya memasuki liga lebih tinggi daripada yang mereka duduki pada musim 2020.
SUA berhajat memasuki Liga Super pada tahun 2021.
Populariti kedua-dua pasukan semakin terbukti apabila ramai pemain muda hadir untuk sesi pemilihan pemain bagi SUB minggu lepas, dengan pemain-pemain ternama dilaporkan turut mencuba nasib bagi SUA.
Dalam perkembangan sama, adalah dikhabarkan bahawa SUA akan diperkuatkan oleh penyerang berbisa dan terhebat, Hudson Dias bagi musim ini.
Turut dikhabarkan menyertai SUA adalah Ashri Chuchu dan S Chanturu yang merupakan bekas pemain JDT FC.
SUB pula sedang menilai dua pemain muda dari Ghana dengan salah seorang dikatakan merupakan pemain kebangsaan Ghana.
SUA adalah pasukan yang dijenama semula oleh FAS. Sebelum ini, pasukan tersebut dikenali sebagai Selangor United.
SUB pula adalah pasukan yang terhasil dari penjenamaan semula Sarawak FA.