Pasukan yang menggelar diri mereka wakil Sarawak, Sarawak United, dilihat masih mempunyai peluang untuk layak ke pertandingan bola sepak teragung Malaysia, Piala Malaysia.
Menurut Ketua Jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan, peluang Sarawak United ke Piala Malaysia bulan depan masih terbuka kerana jarak antara pasukan dalam Liga Premier tidak jauh.
“Kita akan bermain dengan Terengganu II, selepas itu Negeri Sembilan, jadi kita cuma berharap yang terbaik daripada dua perlawanan ini. Saya perhatikan semua pasukan kini bermain habis – habisan, jadi siapa yang berjaya akan layak ke Piala Malaysia.” kata Elavarasan selepas menyaksikan pasukannya tewas kepada Negeri Sembilan Jumaat lalu.
“Yang atas dua anda sudah tahu siapa akan layak: Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Yang lain semua akan mencari tempat.
“Saya rasa jika kita mendapat dua kemenangan semua boleh jadi (layak ke Piala Malaysia) kerana beza mata antara pasukan tidak jauh. Ianya adalah antara lapan dengan 11.
“Maka ianya masih ketat. Perlawanan ke-sebelas nanti akan membezakan pasukan mana yang layak untuk ke Piala Malaysia”.
Pihak Malaysia Football League (MFL) telah membuat rombakan kepada format Piala Malaysia musim ini ekoran Covid-19.
Sungguhpun demikian, format kelayakan ke pertandingan tersebut kekal sama dimana 11 pasukan terbaik Liga Super akan diiringi lima pasukan terbaik dari Liga Premier.
Pasukan simpanan di dalam Liga Premier tidak layak untuk bermain di Piala Malaysia, sekaligus membuka ruang kepada sembilan pasukan lain, termasuk Sarawak United untuk layak ke pertandingan tersebut.