Pasukan Sarawak United turun ke tangga tercorot Liga Premier selepas tewas 1-0 kepada pasukan Terengganu FC II malam tadi.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan pelawat meledakkan gol pertama melalui Jordan Mintah seawal minit ke-enam, dan mengekalkan kelebihan satu gol mereka itu sepanjang perlawanan.
Ketua Jurulatih pasukan Sarawak United, E Elavarasan berkata gol tersebut hadir terlalu awal dan pemain pertahanan beliau telah melakukan kesilapan yang mengakibatkan jaringan tersebut.
Beliau juga menyatakan bahawa pasukan bimbingannya telah cuba untuk menyamakan kedudukan dan telah menguasai bola, namun peluang untuk menjaringkan gol tidak hadir.
“Kita kena gol tersebut terlalu awal. Satu kesilapan pemain pertahanan yang gagal mengawasi pemain. Kita telah cuba untuk menjaringkan gol tetapi gagal. Kita banyak memiliki bola, dan telah menyerang tetapi masih gagal menjaringkan gol. Kalau kita ada peluang tetapi gagal menjaringkan gol, anda akan kalah.” kata Elavarasan kepada pemberita selepas perlawnana.
“Kita kena terima kekalahan ini.” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Ketua Jurulatih Terengganu II berkata beliau amat bersyukur berjaya menang dalam perlawanan malam tadi.
“Saya bersyukur berjaya mendapat tiga mata penuh malam ini. Saya amat hormat akan pemain – pemain saya yang telah bermain bermati – matian.” kata Roshadi kepada pemberita selepas perlawanan.
Kekalahan Sarawak United itu menyaksikan pasukan tersebut gugur ke tangga terbawah Liga Premier dengan memiliki lapan mata dari 10 perlawanan.
Walaupun demikian, Sarawak United masih boleh memperbaiki kedudukan di Liga Premier jika menang perlawanan terakhir mereka kelak kerana mata kedudukan pasukan Perak II (Tangga ke-11) adalah sama dengan pasukan tersebut.