Sarawak United mempunyai peluang terbaik untuk mengungguli Liga Premier apabila pasukan tersebut bertembung dengan Negeri Sembilan malam ini.
Negeri Sembilan kini berada di tangga teratas liga dengan kelebihan satu mata.
Oleh itu, kedua – dua pasukan setakat ini sering bersaing untuk menduduki tangga teratas liga, dengan perlawanan malam ini dilihat bakal menjadi indikasi pasukan manakah akan menguasai Liga Premier.
Di atas kertas, kelebihan jelas memihak Sarawak United yang bukan sahaja mempunyai lebih banyak jumlah gol dan juga jumlah jaringan bolos yang lebih kecil.
Fakta ini ditambah dengan hakikat bahawa Sarawak United mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding Negeri Sembilan, dan juga satu barisan pemain yang boleh dianggap ‘setaraf pasukan Liga Super’.
Sungguhpun demikian, pasukan Negeri Sembilan yang akan menjadi tuan rumah kepada perlawanan ini tidak boleh dipandang entang.
Pasukan bimbingan K. Devan ini mempunyai pemain yang juga ‘setaraf pasukan Liga Super’ dan mereka juga hanya tewas sekali, seperti pasukan Kenyalang Emas.
Malahan, bermain di tempat sendiri sudah pasti memberi kelebihan kepada pasukan Negeri Sembilan yang dilihat agak kuat apabila beraksi di laman sendiri musim ini.
Dalam pada itu, kedua – dua pasukan dijangka akan mempamerkan aksi terbaik mereka malam ini dengan keupayaan taktikal kedua – dua pasukan menjadi pemisah kepada keputusan akhir kelak.
Perlawanan dijangka akan berlangsung pada jam 10 malam ini.