Sarawak akhirnya berjaya mendapatkan kemenangan yang dicari apabila menewaskan pasukan Terengganu FC II (juga dikenali sebagai T-Team) di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin malam ini.
Walaubagaimanapun, pasukan bimbingan David Usop lambat mencari rentak di dalam perlawanan yang mana menyaksikan pasukan tuan rumah mendahului pada minit ke-15 apabila Patrick Cruz berjaya menewaskan penjaga gol Sarawak, Shahril Saa’ri untuk gol pendahuluan.
Sarawak tidak berputus asa dan meneruskan taktik serangan kilat yang diadaptasikan David, dan usaha mereka membawa hasil apabila Ndumba Makeche mudah menewaskan penjaga gol T-Team pada minit ke-42 melalui tandukan.
Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, dan Sarawak pantas menyaksikan mereka diberi peluang untuk menjarakkan diri pada minit ke-68 apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Sarawak.
Gilmar da silva Filho mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk Sarawak, sekaligus meletakkan Sarawak di hadapan dengan jaringan 2-1.
Sarawak tidak mudah berpuas hati dengan gol pendahuluan tersebut dan terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu T-Team.
Sungguhpun demikian, pintu gol T-Team ampuh menahan serangan, dan keputusan 2-1 memihak Sarawak kekal sehingga tamat masa permainan.