Sarawak perlu cipta lebih banyak peluang

KUCHING: Sarawak perlu mencipta lebih banyak peluang di hadapan pintu gol lawan apabila melayan pendahulu Liga Perdana, Sime Darby FC pada saingan Liga Perdana di Stadium Negeri Kuching pada Jumaat ini.

Ketua jurulatihnya, Robert Alberts berkata berdasarkan kemenangan tipis 2-1 ke atas SPA Putrajaya di sini Jumaat lalu, anak-anak buanya perlu segera memperbaiki kelemahan sebelum menentang Sime Darby FC dalam usaha memburu gelaran juara liga musim ini.

Selepas 15 perlawanan, Sarawak menghuni tangga kedua liga dengan mengumpul 37 mata, manakala Sime Darby FC (39 mata) mempunyai kelebihan dua mata untuk mengungguli persada liga.

Jurulatih import dari Belanda itu turut memuji pemain gantian Junior Eldstal yang menampilkan persembahan menarik dengan memiliki skil merampas bola dari pihak lawan dan melakukan hantaran tepat.

“Beliau mungkin disenarai dalam kesebelasan utama apabila menentang Sime Darby FC nanti,” kata Alberts.

Eldstal atau nama tempatannya, Putera Nadher Amarhan, memegang pasport Malaysia dan disenaraikan sebagai pemain tempatan.

Ibunya adalah rakyat Sabah manakala bapanya adalah warga Sweden.

Sumber: BERNAMA

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top