Pasukan Bujang Senang dikatakan sebagai pasukan yang paling teruk terjejas ketika jendela perpindahan awal musim 2015 tertutup lapor majalah FourFourTwo.
Menurut majalah berbahasa Inggeris berkenaan, Sarawak telah kehilangan ramai pemain bintang dan gagal mencari pengganti sehebat pemain yang telah meninggalkan pasukan tersebut. Majalah tersebut menambah bahawa kenyataan Robert Alberts di media yang jelas menyatakan pasukannya hanya akan sekadar mampu bersaing untuk kekal di Liga Super memperkuatkan lagi indikasi bahawa Sarawak gagal melakukan yang terbaik ketika jendela perpindahan tertutup.
Artikel yang ditulis oleh Darren Goon turut mengulas bahawa sungguhpun Sarawak berjaya menambat hati Billy Mehmet yang merupakan penyerang terbilang Liga Premier tahun lepas, mereka pada dasarnya hanya berjaya menambat pemain yang kurang ternama seperti Sabri Sahar dan G Mathevan.
Darren dalam pada itu menyatakan bahawa Terengganu dilihat paling untung ketika jendela perpindahan ditutup selepas mereka berjaya menambat hati Paolo Rangel yang mempunyai isu kontrak dengan Selangor FA sebelum ini.
JDT juga dilihat semakin hebat selepas jendela perpindahan ditutup dengan penambahan beberapa pemain kebangsaan seperti S Chanturu dan Junior Eldstal.
Turut disebut adalah Pahang FA yang mengekalkan hampir semua pemainnya.