Sarawak masuk final KARVOTEK Kebangsaan biarpun pasukan berdepan cabaran

Pasukan bolasepak Sarawak di bawah Hakimi Man hari ini mengesahkan tempat di final pertandingan bola sepak KARVOTEK Kebangsaan selepas berjaya menewaskan Terengganu 4-1 melalui sepakan penalti di dalam perlawanan separuh akhir pertandingan tersebut.

Dalam perlawanan tersebut, Terengganu membuka gol pertama perlawanan apabila menjaringkan gol pada minit ke-2 perlawanan.

Sarawak yang enggan mengalah terus berusaha untuk mencari gol penyamaan dan akhirnya berjaya pada minit ke-61 melalui jaringan Md Syazwan Ali.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun buntu mencari gol kemenangan pada masa penuh dan masa tambahan.

Sarawak akhirnya mengukir kemenangan bermakna apabila menewaskan Terengganu 4-1 melalui sepakan penalti, sekaligus membuka laluan kepada pasukan bimbingan Hakimi untuk bertemu Perlis yang juga berjaya menewaskan lawannya, Selangor di dalam perlawanan separuh akhir.

Laluan Sarawak ke final sememangnya mencabar.

Menurut Hakimi, barisan kejurulatihan Sarawak bertindak berani menggugurkan tiga ayam tambatan yang disifatkan ‘ tidak patriotik’ kerana gagal menunjukkan komitment kepada pasukan, dan telah kehilangan beberapa ayam tambatan lain yang telah diserap ke pasukan belia dan menyertai pasukan JDT IV.

Biarpun demikian, Hakimi menjelaskan pasukan Sarawak telah digilap dan akhirnya menunjukkan potensi yang perlu pada kejohanan kali ini.

Dalam KARVOTEK Kebangsaan di Batu Pahat Johor, pasukan bimbingan Hakimi membuka kejohanan melalui kemenangan ke atas Sabah, sebelum seri menentang Perak.

Sarawak kemudiannya ditewaskan oleh Selangor 2-1, sebelum kemenangan ke atas Negeri Sembila mengesahkan tempat Sarawak di perlawanan separuh akhir hari ini.

Hakimi dalam komen selepas perlawanan mengibaratkan kemaraan Sarawak ke perlawanan final KARVOTEK Kebangsaan sebagai ‘tidak diduga’.

Sarawak akan bertemu Perlis di dalam penentuan juara bola sepak KARVOTEK Kebangsaaan.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top