Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyasarkan pasukan Sarawak untuk mara ke pusingan akhir temasya bolasepak wanita berprestij negara, Piala Tun Sharifah Rodziah edisi 2017.
Menurut Abdul Karim, sasaran tersebut merupakan langkah positif dan realistik kerana mengambil kira peluang dan kesempatan Sarawak selaku tuan rumah bagi kejohanan tersebut tahun ini. Sarawak yang bersaing baik di Liga Bolasepak Kebangsaan Wanita beberapa bulan lalu sememangnya dilihat sebagai pencabar pada pertandingan kali ini.
Dalam perkembangan sama, Abdu Karim turut menyeru peminat bolasepak di bandaraya Miri dan sekitarnya untuk hadir beramai-ramai untuk memberikan sokongan kepada pasukan wanita Sarawak apabila pertandingan bermula kelak.
Temasya edisi 2017 yang akan berlangsung bermula 8 April ini, dan ianya buat julung kalinya dianjurkan di luar Semenanjung Malaysia, sekaligus bakal menyaksikan pasukan-pasukan bolasepak wanita terbaik Malaysia berkampung di bandaraya Miri.