Sarawak kekal kebal!

SARAWAK meneruskan rekod kebal dalam kempen Liga Perdana 2013 setelah mengalahkan Putrajaya FC 2-1 dalam aksi di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching malam tadi yang disaksikan sekitar 8,000 penonton.

Namun Sarawak resah seketika apabila pasukan pelawat mendahului pada minit ke-42 hasil rembatan leret pemain import, Joel Armel Tchami. Sarawak terus kecewa selepas itu apabila jaringan penyamaan pemain pertahanan, Hairol Mokhtar pada minit ke-53 tidak dikira ekoran mengasari penjaga gol.

Bagaimanapun, penantian penonton berakhir apabila Guy Bwele menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-56 hasil sepakan bebas cantik dari luar petak penalti.

Dan kemasukan pemain kacukan Sabah/Sweden, Junior Eldstal ternyata membawa tuah apabila terlibat dalam gol kemenangan Sarawak pada minit ke-69 melalui tandukan Bobby Gonzales.

Ia merupakan jaringan ke-11 Bobby setakat ini. Lontaran ke dalam Ronny Harun disambut Eldstal dengan tandukan, dan Bobby menyambutnya juga dengan tandukan yang menerjah masuk ke jaring.

Bagaimanapun kemenangan tersbeut tidak mengubah kedudukan Sarawak yang kekal di tangga kedua. Ini kerana pendahulu liga, Sime Darby menang bergaya 4-1 ke atas Perlis dalam aksi di gelanggang sendiri petang semalam.

Bagaimanapun, kemenangan malam tadi sekurang-kurangnya mengekalkan status Sarawak sebagai pasukan yang belum terkalah setakat ini bersama Sime Darby.

Sarawak akan turun menentang Pos Malaysia di gelanggang lawan Isnin ini. Yang pasti, perlawanan Sarawak-Sime Darby di Kuching pada Jumaat depan (10 Mei) dilihat sebagai aksi penentu sang juara.

Sumber: Utusan Sarawak

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top