Tuan rumah Sarawak terpaksa berkongsi mata malam ini selepas mereka gagal menundukkan Pahang di laman sendiri.
Perlawanan bermula dengan Sarawak bermain aggresif untuk mencari gol pertama perlawanan, namun rembatan Junior pada minit awal perlawanan sipi sahaja dari sasaran.
Pahang membalas serangan Sarawak melalui rembatan kencang German Ezequiel namun Iqbal Suhaimi berjaya menolak cubaan tersebut daripada masuk ke gawang Sarawak.
Sarawak kemudiannya hampir meletakkan diri di hadapan apabila Nur Shamie bijak menghidu ruang di dalam kawasan penalti Pahang, dan membuat lorongan berbahaya kepada Ndumba Makeche. Sunguhpun demikian, rembatan Makeche sedikit tersasar dari pintu gol Pahang.
Pada minit ke-29, Sarawak akhirnya memecah kebuntuan apabila Junior Aparecido merembat kencang hantaran lintang dari Tommy Mawat untuk gol pertama Sarawak.
Sarawak meneruskan aksi pantas dan aggresif mereka terhadap Pahang dan Junior sekali lagi hampir menambah jaringan melalui sepakan jarak jauh, namun penjaga gol Pahang, Mohd Nasril pantas menerbangkan diri untuk menolak bola keluar.
Babak kedua menyaksikan Pahang pula mengusai perlawanan dengan German dan Dalibor Volas mengucar-ngacirkan pertahanan Sarawak.
Sungguhpun demikian, Makeche hampir-hampir menjaringkan gol kedua untuk pasukan tuan rumah, tetapi tandukannya tepat ke arah Nasril untuk kedudukan kekal dengan Sarawak masih mendahului.
Pahang kemudiannya terus mempertingkatkan serangan mereka, namun Davide Grassi dan Hairol Mokhtar dilihat sukar ditembusi, khususnya melalui hantaran dari udara.
Pada minit ke-55, segala usaha Pahang akhirnya membawa hasil apabila Dalibor Volas mudah menolak masuk bola ke gawang Sarawak apabila berlaku pergelutan di hadapan pintu gol Sarawak.
Dengan kedudukan terikat kini, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tetap buntu mencari gol kemenangan, sekaligus menyaksiakan kedua-dua pasukan berkongsi mata di Stadium Negeri.