Sarawak buru pemain baharu untuk Piala Malaysia

Sarawak bersiap sedia memburu tiga pemain baharu untuk memantapkan pasukan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia 2013 yang akan berlangsung pada penghujung Ogos depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman menjelaskan bahawa sekarang ini mereka telah pun mengenal pasti tiga pemain berkenaan.

“Pemain baharu ini mampu mengisi kekurangan pasukan, terutama di bahagian sayap,” jelas Sudarsono ketika ditemui Utusan Sarawak semalam.

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sama ada membuka semula ruang perpindahan pemain sebelum kempen Piala Malaysia 2013,” katanya.

“Ini kerana FAM telah pun membuka pintu perpindahan pemain pada April lalu… ketika itu kami mengambil Zamri Mosrhidi (PKNS),” ujar Sidarsono. Namun Sudarsono enggan mendedahkan identiti pemain berkenaan.

Apa yang pasti, ketiga-tiganya mempunyai keupayaan untuk menambahkan lagi kekuatan sedia ada pasukan Sarawak.

Menurut Sudarsono, saingan Piala Malaysia menjanjikan pertarungan yang lebih sengit kerana disertai kebanyakan pasukan elit daripada Liga Super. “Kita akan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki pencapaian dalam Piala Malaysia kali ini,” jelasnya.

“Sebagai sebuah pasukan bola sepak… sehebat mana pun sesebuah pasukan itu, pasti ada kelemahan dan kekuatannya,” kata Sudarsono.

“Oleh itu, kami akan berusaha untuk mengelak pihak lawan mengeksploitasi kelemahan kami,” jelasnya. Sarawak akan menentang kelab Liga Super, ATM dan kelab handalan Indonesia dalam aksi persahabatan pada Ramadan nanti.

Sementara itu, petang semalam skuad Sarawak diraikan bersama para peminat di Padang Merdeka, Kuching.

Para pemain diarak dengan menggunakan bas dengan bumbung terbuka. Antara acara yang diadakan dalam majlis tersebut ialah sesi berjumpa pemain, sesi tanda tangan pemain, melihat trofi juara dengan lebih dekat.

Turut diadakan ialah kotak khas untuk orang ramai menderma bagi badan kebajikan.

Acara khas untuk para peminat itu bermula pada pukul 12.00 tengah hari hingga pukul 4.00 petang. Sarawak muncul juara Liga Perdana 2013 setelah menunggu selama 16 tahun.

Ia merupakan kejuaraan keempat Sarawak setelah menjuarai Piala FA 1992, Piala Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998.

Sumber: Utusan Sarawak

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top