Mantan pemain import Sarawak United mungkin akan mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak profesional selepas ini.
Dalam laporan Astro Arena, pemain Brazil itu mendakwa beliau telah menolak beberapa tawaran kerana setia dengan janji yang ditaburkan Sarawak United.
Sungguhpun demikian, Sandro mendakwa beliau telah digugurkan pada saat akhir dan slot pemain import Sarawak United telah penuh.
“Amat-amat sukar untuk diperkatakan tetapi esok saya akan pulang kerana kita tahu tiada kesepakatan di antara saya dan Sarawak,” katanya Sandro kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.
“Saya sepatutnya memperbaharui kontrak saya seperti yang telah dibincangkan sebelum ini tetapi pada saat-saat akhir, saya fikir jurulatih telah memilih pemain lain.
“Jadi, slot pemain kelab ini sudah penuh. Ia mungkin satu salah faham tetapi di pihak saya, ia sesuatu yang tidak bagus kerana pasukan ini akan meneruskan saingan tetapi saya pula perlu pulang ke Brazil.
“Saya berasa sedih dengan beberapa orang di sini tetapi saya tidak mahu mendedahkan nama mereka.
“Sebelum ini saya memiliki beberapa pilihan dan mereka meminta saya menolaknya untuk kekal bersama mereka, jadi saya telah menolak tawaran yang saya terima demi mengikat kesepakatan bersama mereka.
>> DAPATKAN TOPI SARAWAK UNITED
“Tetapi pada saat-saat akhir, mereka mengubah segala-galanya.
“Ia sesuatu yang amat sukar buat saya kerana saya datang dari amat jauh. Ia boleh diselesaikan dengan panggilan telefon dan tidak perlu membawa saya ke sini, jadi saya berasa sedih,” katanya lagi.
Situasi Sandro mendapat perhatian selepas ianya didedahkan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, dalam satu ciapan di laman sosial Twitter kelmarin.