Ketua Jurulatih Kuching City, Irfan Bakti mengesahkan bahawa bekas pemain import Langkawi City FC, Michael Ijezie Chukwubunna akan menyarung jersi kelab bimbingannya.

Irfan yang dipetik akbar Utusan Borneo berkata bahawa pengambilan Michael adalah sebagai pengganti kepada Bryan Jones yang telah digugurkan.

“Bryan diketepikan dan digantikan dengan seorang penyerang baharu (Michael Ijezie Chukwubunna),” katanya dalam laporan Utusan Borneo.

Selain Langawi City, Michael juga pernah bermain bersama UKM FC dari 2018 hingga 2019.

Pemain yang mempunyai rekod jaringan yang tinggi ini kini sedang menjalani kuarantin di salah sebuah hotel terkemuka Kuching, dan dijangka akan dapat menyertai pemain kelab baharunya untuk sesi latihan tidak lama lagi.

Pengesahan Irfan mengesahkan khabar angin sebelum ini yang mengaitkan Michael dengan perpindahan ke Kuching City.

Kuching City dijadualkan akan bertemu Terengganu FC II di Stadium Negeri, Petra Jaya apabila Liga Premier bersambung semula pada 3 Julai 2021.