Kelab bolasepak Sabah FC tidak rela keciciran mata lagi dan tiga perlawanan berturut-turut di laman sendiri berdepan Perak FC, Melaka United FC dan Kedah Darul Aman FC mahu digunakan sepenuhnya oleh Sabah FC untuk memburu kedudukan enam teratas di Liga Super.
Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto yang semakin berpuas hati melihat peningkatan dipamerkan selepas tidak tewas dalam tiga perlawanan terakhir, mengharapkan semua pemainnya agar tidak cepat berasa selesa.
Menurut beliau, mereka perlu terus bekerja keras dalam tiap perlawanan sambil memberikan peringatan, tiada sesiapa dalam pasukan terjamin tempat dalam kesebelasan utama.
“Saya rasa ini peluang buat Sabah tampil dengan lebih bersemangat kerana bermain di hadapan penyokong sendiri dan harap kami sudah tekad untuk pergunakan kesempatan ini sebaiknya bagi meraih mata penting.
“Namun, jangan mudah terlalu yakin dan saya mahu mereka semua sentiasa bekerja keras serta kekalkan fokus dalam perlawanan yang kita lalui, bermula dengan Perak, Ahad ini.
“Aksi dengan Perak dan Melaka United antara dua perlawanan yang kami kena cuba menang kerana kedua-dua pasukan sedang berada dalam kedudukan yang sangat rapat antara satu sama lain selain cuba bersaing dengan Kedah, ” katanya.
Sabah FC dan Perak FC akan berentap pada Ahad ini selain satu lagi perlawanan yang berlangsung di hari yang sama ialah perlawanan membabitkan PJ City FC dan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya pada jam 10.00 malam.
Anak-anak buah Kurniawan sebelum ini berjaya mengikat Selangor FC, 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta Penang FC, 1-1 di Stadium Bandaraya selain membenam UiTM FC, 4-0 di Stadium Likas.
Menduduki tempat kesembilan Liga Super dengan 10 mata, Sabah FC hanya satu mata mengatasi Perak selain dipisahkan dengan perbezaan jaringan yang meletakkan Melaka di tempat kelapan.