Sungguhpun gagal mencapai sebarang kemenangan sehingga hari ini, pasukan Persatuan Bolasepak Sabah (Sabah FA) berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya pertandingan Superbest Power Piala FA apabila mengetepikan pasukan Persatuan Bolasepak Aangkatan Tentera Malaysia (ATM FA) di dalam satu perlawanan menarik di Stadium Likas hari ini.

Sabah terlebih dahulu mendahului di dalam perlawanan pada minit ke-12 apabila penyerang import dari Nigeria Prince Nnake berjaya menewaskan penjaga gol ATM Mohd Hafizuddin Azuhar. Gol tersebut terhasil apabila rembatan deras Marco Tulio terkena kaki Prince, sekaligus memberikan Sabah gol pendahuluan yang ditunggu-tunggu sekitar 2,000 peminat bolasepak di Stadium Likas.

Sungguhpun Sabah menguasai perlawanan, Faiz Ibrahim berjaya menyamakan kedudukan bagi pasukan ATM bagi meletakkan kedua-dua pasukan sekata dari segi jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Sabah kembali aggresif pada separuh masa kedua dan penyerang tempatan Maxsius Musa tidak mengecewakan penyokong sang Badak apabila mudah menjaringkan gol pada minit ke-46 bagi meletakkan pasukan tuan rumah sekali lagi di hadapan.

Dengan kelebihan satu gol, pasukan Sabah memperkemaskan lagi barisan pertahanan mereka dan mengecewakan hasrat ATM yang giat mencari gol penyamaan sehingga wisel penamat, sekaligus memberikan Sabah kemenangan dan peluang untuk mara ke Suku Akhir Superbest Power Piala FA musim ini.