Sabah FC bertukar milik

Pemilikan pasukan Kelab Bolasepak Sabah (Sabah FC) berubah dalam sekelip mata selepas Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang diketuai YB Dato Sri Bung Mokthar Radin dikhabarkan meminta agar berlaku perubahan kepada cara kelab tersebut diuruskan.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Eksekutif Sabah FC, Verdon Bahanda, menjelaskan bahawa beliau tidak lagi akan memegang jawatan Ketua Eksekutif (CEO) dan pemilik Sabah FC selepas keputusan tersebut dicapai melalui perjumpaan beliau dengan Bung Mokhtar.

“Dengan segala hormatnya saya mengesahkan bahawa saya tidak lagi menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan juga tugas sebagai Pengarah serta menamatkan semua tanggunjawap saya dalam SABAH FOOTBALL CLUB SDN BHD (SFCSB) berkuatkuasa hari ini 21 Disember 2020.” kata Verdon dalam kenyataan media beliau di laman sosialnya.

“Ini adalah ekoran dari pertemuan saya dengan YB Dato Sri Bung Mokthar Radin kemarin, 20 Disember 2020 dimana beliau telah memaklumkan keputusan SAFA untuk merombak kepimpinan dalam SAFA dan juga dalam SABAH FC.” jelasnya lagi.

Verdon juga memaklumkan bahawa segala perbelanjaan yang telah beliau keluarkan untuk Sabah FC akan dibayar balik, sekaligus menyaksikan beliau tidak lagi menjadi pemegang saham utama dalam kelab tersebut.

“Dalam pertemuan tersebut, saya telah dimaklumkan SAFA akan membayar balik semua perbelanjaan yang telah saya keluarkan.” kata Verdon lagi.

Verdon dalam kenyataan sama menjelaskan beliau memilih untuk menjadi CEO dan pemilik saham terbesar kelab tersebut bagi memudahkan beliau membuat keputusan kritikal bagi kebaikan kelab bola sepak tersebut.

Hasilnya, SAFA secara sebulat suara dalam mesyuarat SAFA pada 5 Disember 2020 telah setuju untuk memberikan hak 70% saham SFCSB kepada beliau.

Pelantikan Bung Mokhtar ke jawatan pemangku Presiden SAFA pada 14 Disember lalu walaubagaimanapun menyaksikan berlakunya perubahan di dalam hala tuju SAFA.

Sungguhpun demikian, Verdon menegaskan bahawa beliau hanya akan sah tidak terlibat lagi dengan kelab tersebut selepas semua belanja yang beliau keluarkan telah dibayar.

“Saya hanya akan menandatangani semua dokumen penyerahan hak saham saya dalam SFCSB kepada SAFA dan perletakan jawatan dalam semua jawatan saya selepas mendapat bayaran balik daripada SAFA untuk semua perbelanjaan yang telah saya keluarkan sebelum ini.” terangnya lagi.

Sabah FC merupakan pasukan Sabah FA yang dijenaman semula dan diswastakan.  Kelab tersebut bermain di Liga Super Malaysia, dan telah melantik Lucas Kallang sebagai ketua jurulatihnya pada musim hadapan.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top