Malam ini Sabah kembali menggegar kempen Piala Malaysia selepas kali terakhir layak pada tahun 2011. Sabah berjaya layak ke peringkat suku akhir dan kemudian zaman gelap Sabah bermula.
Setelah 6 tahun, Sabah sudah pasti ingin membuktikan bahawa negeri Sabah masih mempunyai pasukan bola sepak dan pemain yang berkualiti. Sabah juga patut berbangga kerana menjadi wakil tunggal Borneo di kejohanan tertua Asia ini.
Diundi dalam kumpulan D bersama Pahang, Selangor dan PKNP bukanlah tugas mudah untuk Sabah. Namun menjadi pasukan “underdog” ini kadang kala memberi kelebihan kepada pasukan.
Bermain tanpa tekanan sudah pasti akan memberi kelebihan kepada Sabah. Pasukan Liga Super lain pasti ingin mengelak kekalahan kepada Sabah.
Tekanan ini pasti mengundang kesilapan dan jika Sabah bijak mengambil kesempatan, mereka boleh mencuri mata.
Bermain di Likas, Sabah harus menggunakan kesempatan laman sendiri untuk mendapatkan mata penuh.
Penyokong Sabah pasti akan memenuhi Stadium Likas untuk berada bersama-sama dalam sejarah bola sepak Sabah.
Sebagai penyokong, anda patut berbangga dengan apa jua keputusan yang dicapai pasukan Sabah.
Inilah juga peluang untuk pemain Sabah untuk menunjukkan kehebatan mereka jika ingin dipancing pasukan Liga Super.
Ketua Jurulatih Jelius Ating sudah meletakkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke peringkat suku akhir. Keyakinan ini pasti timbul kerana beliau yakin akan kemampuan anak buahnya.
Sebagai jiran dari Borneo, kami ucapkan selamat berjuang kepada Sabah dan bawalah nama Borneo dengan baik dan kami percaya Sabah mampu untuk melakukan kejutan. Sabah Tatap, Lawan Tatap Lawan. – SARAWAKCROCCS.COM/JJF