Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan tujuh pasukan Liga Malaysia dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.
Pasukan berkenaan adalah Kuala Lumpur, Felda United FC, Melaka yang beraksi dalam Liga Super dan Kelantan, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang (Liga Premier).
Bagaimanapun lima daripada tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.
Lima pasukan ini termasuk Melaka juga diwajibkan untuk menyerahkan dokumen/pelan kepada MFL yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang telah diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman ini dibuat iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini.
Sekiranya dokumen-dokumen tersebut masih tidak diserahkan dalam tempoh yang diberikan, pemotongan sebanyak 3 mata akan dikenakan kepada pasukan terbabit.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, keputusan mengenai hukuman itu telah diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dan semua pasukan berhak membuat rayuan dalam tempoh 7 hari iaitu sehingga 5 petang 29 April ini.