Pasukan Sarawak terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 di Kuching, malam tadi. Gol Sarawak dijaringkan oleh Dzulazlan Ibrahim pada minit ke-29, manakala pasukan Terengganu FC II (TFC2) dijaringkan oleh Bruno Suzuki pada minit ke-88.
Ini merupakan perlawanan kedua berturut-turut buat Dzulazlan atau dikenali sebagai Ado menjaringkan gol setelah melakukannya di Selayang, minggu lepas.
Perlawanan malam tadi ialah perlawanan kedua untuk pusingan pertama Challenge Cup. Walau bagaimanapun, perlawanan terjejas akibat gangguan bekalan elektrik yang turut melibatkan pencahayaan di stadium.
Motivasi untuk melupakan kekalahan besar minggu lalu tampak meninggalkan impak positif ke atas skuad Bujang Senang. Walaupun bermain dengan jumlah penonton yang amat sedikit, tetapi Sarawak bermain dengan baik untuk membuktikan bahawa cabaran mereka masih menyala-nyala dalam kejuaraan ini.
Seperti dijangka, pertemuan dengan TFC2 kali ini tidak sama dengan pertemuan sebelum ini. TFC2 yang turun dengan jurulatih baharu tidak menunggu masa menghadirkan serangan terhadap kem Sarawak, tetapi pertahanan dan tengah pasukan bermain agak baik untuk menampan gerakan skuad bimbingan Tengku Hazman ini.
Perlawanan menentang Perth Glory FC tempoh hari menampakkan kematangan dalam permainan Sarawak malam tadi. Pemain nampak lebih terkawal dan rangkaian antara unit nampak lancar. Beserta kesungguhan mengekang tentangan lawan, Sarawak akhirnya mendapat gol yang menyemarakkan semangat semua yang hadir malam tadi.
Gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Kuching menjejaskan permainan sebanyak dua kali pada separuh masa kedua kerana pencahayaan yang tidak terang untuk meneruskan permainan. Hal ini memang memberi impak kepada perlawanan kerana persembahan kedua-dua pasukan tidak seghairah dan efektif seperti sebelum ini.
Dalam kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, Sarawak nampak tertekan untuk menambah jaringan dan mengekalkan kelebihan sedia ada. Kelebihan tersebut akhirnya lebur juga apabila Bruno Suzuki menyamakan kedudukan pada babak akhir perlawanan.
Sungguhpun terlepas memungut mata penuh, Sarawak berhasil memperolehi satu mata berharga yang membolehkan mereka menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan A. Pasukan Negeri Sembilan, lawan Sarawak selepas ini jatuh ke kedudukan terbawah setelah dua kali kekalahan. UKM FC kekal unggul di tangga teratas ketika ini.
Dengan peningkatan permainan malam tadi, mampukah Sarawak bangkit semula untuk mencipta kejayaan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya? Kami berharap agar Ian Gillan dan barisan kejurulatihan memperkasakan lagi corak permainan dan kualiti pemain. Dan bagi pemain pula, jadikan perlawanan ini sebagai pembakar untuk memberikan yang terbaik dan kekal fokus untuk berjaya. Pesan kami, selesaikanlah kekusutan dengan kemenangan di lapangan. – SARAWAKCROCS.COM/RSI