Bekas exco Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan penyelewengan di mahkamah majistret Kuching.
Razali membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Dayang Ellyn Narissa Abang Ahmad.
Menurut laporan DayakDaily, Razali didakwa melakukan tiga penyelewengan wang FAS pada tarikh Januari 18, Februari 4, dan Februari 13 2017, dengan wang berjumlah RM30,000, RM139.920 dan RM21,378.70 dilaporkan disalah guna pada tarikh-tarikh tersebut.
Laporan sama turut menyebut bahawa bekas ahli exco FAS itu didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 1 – 14 tahun, denda dan sebatan jika didapati bersalah.
Kes Razali akan disebut semula pada 14 Ogos ini dan Razali dibenarkan diikat jamin dengan RM8,000 dan dua penjamin.
Razali juga harus melapor diri ke pejabat polis terdekat setiap dua minggu.
Dakwaan tersebut telah disangkal oleh Razali melalui satu sidang media dimana beliau mengugut akan mengambil tindakan undang-undang ke atas FAS jika tiada permohonan maaf dibuat.
Biarpun tidak terlibat dengan FAS lagi, Razali kini masih memegang jawatan di Malaysia Football League (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia.