Dalam kehangatan peminat pasukan Sarawak memberi reaksi yang pelbagai terhadap jersi baharu yang diperkenalkan semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia semalam telah sebulat suara menerusi mesyuarat Jawatankuasa rayuan FAM untuk menolak rayuan yang dibuat oleh FAS dan Hairol Mokhtar.
Menerusi satu kenyataan yang dibuat menerusi laman Facebook FAM, FAM bertindak untuk mengekalkan denda sebanyak RM2000 kepada Hairol Mokhtar atas kelakuan ganas terhadap pengadil perlawanan yang berlaku semasa perlawanan Piala Malaysia antara Kedah dan Sarawak pada 13 Julai 2016.
Selain itu, jawatankuasa rayuan FAM yang dipengerusikan oleh Dato’ Ghanarajah C. Ayathurai turut membuat keputusan untuk melanjutkan penggantungan Hairol Mohktar dari tempoh 6 bulan ke 7 bulan yang bermula 1 September 2016 hingga 31 Mac 2017.
Ini bermaksud Sarawak bakal kehilangan satu watak penting di dalam pasukan memandangkan Hairol merupakan antara pemain senior yang boleh membimbing pemain muda pasukan Bujang Senang.
Adalah dipercayai ketiadaan Hairol akibat penggantungan akan diganti oleh Mazwandy Zakeria ataupun pemain muda Rodney Celvin.
Sebelum ini, FAM turut pernah mendenda pasukan Sarawak atas pelbagai kesalahan yang melibatkan penonton yang bertindak liar dan luar kawalan. Hairol didenda enam bulan akibat menolak pengadil pada satu perlawanan Liga Super musim lepas.