Rafiezan harap Liga Malaysia akan diteruskan

Biarpun menerima keputusan kerajaan untuk tidak menyambung Liga Malaysia biarpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan kelak, ketua pasukan Kuching FA, Rafiezan Razali masih menyimpan harapan agar perlawanan Liga Malaysia 2020 dapat diteruskan jika keadaan mengizinkan.

Rafiezan memberitahu Suara Sarawak bahawa bermain bola sepak adalah sumber pendapatan utama bagi seorag pemain bola sepak dan pembatalan secara berpanjangan akan menjejaskan sumber pendapatan semua pemain.

“Sebagai pemain bola sepak sepenuh masa, ia adalah periuk nasi kami.

“Sekiranya ia dibatalkan atau ditangguh untuk jangka masa panjang, sudah pasti ia akan menjejaskan sumber pendapatan pemain,” kata Rafizan kepada Suara Sarawak.

Sungguhpun mengakui mahu Liga Malaysia bersambung, Rafiezan juga mengaku akan akur kepada sebarang keputusan yang dibuat kerajaan berhubung saingan liga musim ini.

Ini termasuklah kemungkinan membatalkan Liga Malaysia secara keseluruhan bagi tahun 2020.

“Jika itu keputusan pihak kerajaan, demi kesihatan semua pihak… saya terima dan akur,” kata pemain berpengalaman itu.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menegaskan bahawa Liga Malaysia tidak boleh disambung biarpun PKP telah ditarik balik, sekaligus memusnahkan harapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) yang mahu meneruskan liga dengan beberapa langkah tambahan untuk memastikan jangkitan Covid-19 akan terus dikekang.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top