Malam esok, pasukan Sarawak akan turun menentang pasukan Terengganu FC II (TFC2) di Stadium Negeri Sarawak, Kuching. Ini ialah perlawanan kedua Challenge Cup 2018 untuk kedua-dua pasukan.
Kedua-dua pasukan akan berentap dengan misi yang sama, tetapi membawa keadaan yang berbeza. TFC2 yang menduduki tangga kedua Kumpulan A sudah tentu mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menang ke atas Negeri Sembilan 1-0 di Paroi, tempoh hari.
Tatkala TFC2 berkunjung ke Kuching dengan langkah positif, nasib berbeza menyelubungi kem Sarawak. Dikuliahkan 5-1 oleh UKM FC dalam perlawanan pertama Challenge Cup, dan ditendang kanggaru Perth Glory FC 1-7 semasa Piala Simposium bukanlah indikasi bagus buat skuad kendalian Ian Gillan ini.
Rekod terakhir pertemuan kedua-dua pasukan memihak kepada tuan rumah dengan jaringan 5-2 sekaligus memastikan Sarawak kekal di Liga Premier.
Pada perlawanan tersebut, Sarawak mempamerkan permainan yang jitu, dibantu faktor ‘survival’ ingin kekal dalam liga dan memanipulasikan prestasi TFC2 yang kurang memberangsangkan. Walhal dalam perlawanan sebelum ini, prestasi Sarawak juga dipersoalkan tetapi magis “main bermati-matian” yang disuntik berjaya membangkitkan semangat pasukan.
Jadi, adakah magis ini akan berjaya diciptakan semula malam esok?
Pada kami, magis ini sukar untuk diciptakan semula, melainkan keseluruhan struktur pasukan dibetulkan kepada paksi asal seperti sebelum ini. Di atas kertas, agak sukar untuk Sarawak mencipta magis atas faktor moral dan isu dalaman pasukan. Lebih-lebih lagi dengan tekanan beraksi di tempat sendiri esok, sudah pasti pemain-pemain dan jurulatih berkejar masa untuk menaikkan semula maruah yang lunyai dikerjakan 12 gol dalam masa lima hari yang lalu.
Bagi TFC2 pula, prestasi mereka memuncak semula setelah pengurusan pasukan melantik penolong ketua jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan untuk membimbing skuad tersebut.
Perlawanan di Paroi ialah bukti menunjukkan permainan pantas dan berkualiti dengan variasi permainan pemain tempatan yang pantas, tepat dan berkesan. Selain itu, motivasi untuk naik ke tangga teratas kumpulan, serta merencatkan Sarawak yang pernah mengalahkan mereka dalam liga disepakati antara faktor-faktor untuk TFC2 beraksi hebat malam esok.
Walau apa pun, kita berharap agar Sarawak bangkit daripada kekalahan yang dialami minggu lepas. Jadikan perlawanan ini sebagai peluang untuk melonjak naik dengan mengenepikan isu buat sementara waktu. Kepada penyokong, iboh jerak ke stadium, kita jak yang dapat nulong naitkan semangat pasukan. – SARAWAKCROCS.COM/RSI