Presiden perempuan untuk FAS? 

Dengan pelantikan Dato Hajjah Hanifah Taib sebagai Penasihat Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) kelmarin,  timbul kini ura-ura bahawa bakal presiden FAS akan dilantik dari kalangan kaum hawa.

Perkhabaran ini bukanlah sesuatu yang baharu apabila pihak SarawakCrocs telah dimaklumkan oleh satu sumber dalaman bahawa wujud kemungkinan isteri Ketua Menteri Sarawak,  Datin Jamilah Anu dilantik ke jawatan panas tersebut suatu ketika dahulu.

Sungguhpun demikian, berita tersebut tidak kami khabarkan kerana bukti amat berkurangan, dan tiada indikasi khusus yang menunjukkan FAS akan melantik beliau pada ketika itu.

Namun, situasi kini dilihat amat berubah dengan pelantikan Hanifah sebagai penasihat FAS yang baharu.

Hanifah dikatakan meminati sukan bolasepak, dan hubungan beliau dengan Jamilah dikatakan baik, sekaligus memberi sedikit kemungkinan bahawa Jamilah mungkin akan menerima jawatan tersebut sekiranya dicalonkan.

Umum juga tahu bahawa ramai peminat bolasepak Sarawak mahukan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menjadi presiden FAS yang baharu, namun dengan beban tugas beliau yang padat, pelantikan sedemikian dilihat tidak akan berlaku.

Namun, pelantikan Jamilah ke kerusi panas tersebut sudah pasti akan turut disambut baik oleh segenap peminat Bujang Senang kerana ramai tahu, dan beranggapan Jamilah akan mampu menumpukan perhatian beliau sepenuhnya kepada memperhebatkan FAS.

Walaubagaimanapun, buat masa ini, semua nama yang disebut hanyalah spekulasi dengan hanya exco FAS mengetahui siapakan yang bakal mereka lantik sebagai pengganti Datu Sudarsono Osman.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top