Posa Majais telah hadir membalas gesaan beliau meletak jawatan dengan meminta Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Samarahan (PBBS) Mohamad Iskana Bujang mencermin diri sendiri.

Menurut laporan Utusan Borneo, Posa menegaskan beliau sedia berundur sekiranya ada individu yang mahu mengeluarkan RM5 juta duit sendiri untuk membiayai Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Beliau turut berkata beliau tidak mahu lama memegang jawatan Presiden FAS tetapi tidak mahu melepaskanya kepada orang sebarangan.

“Saya sedia berundur jika ada individu sanggup mengeluarkan duit sendiri sejumlah RM5 juta setahun untuk membiayai FAS”.

“Jika ada individu yang sanggup mengeluarkan belanja sejumlah itu setiap tahun, saya sedia berundur daripada menerajui FAS. Jika tidak berani, jangan cakap banyak!

“Saya pasti berundur apabila tiba masanya kerana saya juga tidak mahu duduk lama di kerusi itu. Tetapi, saya tidak akan melepaskan jawatan itu dengan orang sembarangan,” tegas Posa ketika dihubungi semalam.

Laporan Utusan Borneo itu turut menyatakan Posa masih mahu ‘membersihkan’ masalah dalaman FAS dan ini termasuk PBBS.

Posa dalam pada itu turut menyatakan bahawa presiden PBBS perlu mencerminkan diri sendiri dahulu dan Posa turut mempertikaikan pemilihan jawatan presiden FA Samarahan semasa AGM persatuan

Posa turut mempertikaikan kemampuan PBBS dari segi kewangan selain mempertikaikan tujuan isu-isu yang dibangkitkan tidak diutarakan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Limbang pada tahun lalu.

“Kenapa apabila semuanya telah disahkan baharu hendak mempertikai?

“Kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Samarahan, cermin diri sendiri dahulu. Hendak mengeluarkan belanja sejumlah RM10,000 untuk mengurus FA Samarahan juga tidak mampu. Apatah lagi hendak menguruskan pasukan Sarawak.

“Malah, pemilihan jawatan presiden FA Samarahan semasa AGM persatuan itu sebelum ini juga tidak mengikut prosedur yang betul,” kata Posa.

Hujung minggu ini tadi, heboh arena bolasepak Sarawak apabila PBBS dan Persatuan Bekas Pemain Samarahan menggesa Posa meletak jawatan.

PBBS telah memberi 21 sebab mengapa Posa perlu meletak jawatan.