Pemain tengah Kelantan United, Mohd Bahdri Radzi menyifatkan kejayaan pasukan menjulang trofi Liga M3 ibarat mengubat kembali kerinduan selepas sekian lama tidak merasai aura kemenangan dalam kariernya.

Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya mengakui dirinya sudah lama tidak merasai kemenangan sebegitu apatah lagi sebelum ini pernah berdepan konflik bersama Kelantan pada pertengahan musim.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Justeru, dengan kejayaan menjulang trofi bersama Kelantan United ibarat memberi sinar baharu kepada kariernya dan juga sebagai hadiah kepada semua penyokong yang kekal memberi sokongan sehingga bergelar juara Liga M3 musim ini.

Bekas pemain kebangsaan itu turut berterima kasih kepada jurulatihnya , Zahasmi Ismail kerana memberi peluang untuknya beraksi bersama Kelantan United selepas bergelut dengan pelbagai masalah sewaktu bersama pasukan Perlis pada awal musim.

“Mana-mana penyokong baik Kelantan atau Kelantan United tetap sama, tetap kuat.

“Aura penyokong Kelantan ni begitu kuat sebab apabila kita sudah dapat satu piala ini, mereka sanggup datang dari jauh untuk menyokong.

“Sudah lama saya tidak merasai aura seperti ini bersama penyokong-penyokong di stadium dan puas apabila dapat julang trofi pada malam ini (semalam).

“Saya amat berterima kasih kepada jurulatih yang memberi peluang bermain dalam pasukan dan Alhamdulillah kita dapat masuk Liga Premier,” katanya.

Berhubung perancangannya pada musim depan, bekas kapten Kelantan ini berharap dia masih mampu untuk menabur bakti pada usia 38 tahun.

Apa yang penting, dia mengharapkan Kelantan United mampu bersaing setanding dengan pasukan-pasukan lain dalam kancah Liga Premier sepertimana yang pernah dia lakukan bersama Kelantan sehingga menjulang beberapa kejayaan pada suatu ketika dahulu termasuk merangkul tiga gelaran pada 2012.

“Sasaran musim depan saya tidak pasti lagi macam mana tapi harap dapat beraksi lagi. Tapi kita semua kena sedar saingan di Liga M3 dan Liga Premier cukup berbeza dan perlu berusaha dengan lebih keras.

“Saya rasa tidak mustahil kami satu pasukan mampu untuk membawa nama Kelantan United di tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang”, katanya.

Majlis penyerahan Piala Liga M3 2019 telah berlangsung sejurus berakhir perlawanan antara Kelantan United dan Armed Forces FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam yang menyaksikan keputusan berakhir seri 2-2.

Untuk rekod, Kelantan United telah memenangi sebanyak 22 perlawanan, 3 seri dan 2 kekalahan sepanjang 26 perlawanan pada musim ini untuk mengumpul sebanyak 66 mata secara keseluruhan.