Di dalam kemeriahan peminat menikmati perlawanan Liga Premier Sarawak FA menentang Kuantan FA kelmarin, hadir sedikit berita tidak begitu enak apabila seorang peminat menghantar gambar picagari yang dijumpai di perkarakan stadium kepada laman Facebook kami.
Picagari yang lengkap dengan jarum itu ditemui di pinggir tempat duduk penonton.
Menurut peminat tersebut yang dikenali sebagai Syah, picagari tersebut dijumpai di kawasan teres terbuka Zon A Stadium Negeri, sekaligus membawa banyak persoalan sekiranya kawasan tersebut digunakan oleh orang lain untuk aktiviti yang bukan bersifat kesukanan.
Sungguhpun pihak kami tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi sehingga picagari tersebut diletakkan di tempat duduk tersebut, ianya adalah menjadi harapan bahawa kawalan di Stadium Negeri boleh diperketatkan bagi mengelakkan lokasi tersebut menjadi ‘port’ bagi aktiviti tidak bermoral.
Diharapkan selepas ini juga, tidak ada penemuan sedemikian dibuat oleh warga peminat sukan di Stadium Negeri kerana Stadium Negeri bukan sahaja dikunjungi orang dewasa, malahan budak-budak yang mungkin mengambil picagari tersebut sebagai alat mainan.