Pasukan bolasepak wanita Sarawak hari ini melakarkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Piala Tun Sharifah Rodziah di Stadium Miri hari ini dengan menjinakkan Negeri Sembilan 6-0.
Pasukan Sarawak memulakan pesta gol seawal minit ke 3 dengan jaringan Nor Afiqah. Gol kedua pasukan Sarawak dijaringkan oleh Rabiyah pada minit ke 15. Seminit kemudian, Heindee Mosroh turut berjaya menjaringkan gol untuk pasukan Sarawak.
Pasukan Negeri Sembilan kelihatan amat longlai dan gagal mengekang asakan bertali arus pasukan Sarawak. Pada minit ke 24, Heindee sekali lagi menjaringkan gol ke 4 pasukan Sarawak. Selang sepuluh minit kemudian, Siti Rohani turut mencatat nama sebagai salah sorang penjaring gol untuk pasukan Sarawak. Separuh masa pertama memihak kepada Sarawak 5-0.
Pada separuh masa kedua, Heindee Mosroh menambah derita pasukan Negeri Sembilan apabila menjaringkan hat-trick. Akhirnya, 90 minit masa perlawanan berakhir dengan keputusan Sarawak 6 Negeri Sembilan 0.
Perlawanan peringkat terdahulu menyaksikan Sarawak menang 2-0 menentang Kelantan pada perlawanan pertama, dan menang 3-0 menentang Pahang semalam. Pasukan Sarawak telah menjaringkan 11 gol dari 3 perlawanan peringkat kumpulan tanpa bolos.
Kemenangan tersebut melayakkan Sarawak selaku juara kumpulan C mara ke pusingan suku akhir yang dijadualkan akan berlangsung pada 12 April ini di Stadium Miri pada jam 4.15 petang.